Rakyat Kelantan perlu beri peluang BN pula mentadbir

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan (tiga, kanan) ketika program Himpunan Anak Muda Rantau Panjang dan Tumpat di Kelantan, pada Sabtu. - Foto Facebook Shahril
Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan (tiga, kanan) ketika program Himpunan Anak Muda Rantau Panjang dan Tumpat di Kelantan, pada Sabtu. - Foto Facebook Shahril
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Kelantan perlu memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri itu sebagai usaha menyelesaikan beberapa isu sekali gus membawa perubahan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kini sudah tiba masanya Kelantan melakukan perubahan selepas 32 tahun negeri itu ditadbir oleh Pas.

"Selepas 32 tahun, ini adalah masanya untuk Kelantan membuat perubahan. Beri peluang kepada BN membawa pembangunan dan pelaburan, menjana pekerjaan dan menyelesaikan isu-isu di negeri Kelantan Darul Naim," katanya menerusi hantaran di laman Facebook, pada Ahad.

Sebagai rekod, Pas membina legasi politik dan pentadbiran di Kelantan selepas berjaya menumbangkan UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum ke-8 (PRU8).

Pas membentuk kerjasama dengan Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang diberi nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 dalam misi untuk menang PRU8.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, program Himpunan Anak Muda Rantau Panjang dan Tumpat di Pantai Geting, Tumpat pada Sabtu berjaya menghimpunkan lebih 700 anak muda berkonvoi motosikal dari Rantau Panjang ke Tumpat bersempena bulan Kemerdekaan.

"Turut bersama Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan merangkap Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Akbar Salim; Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah; Ketua Pemuda UMNO Rantau Panjang Anwar Mohd; Ketua Pemuda UMNO Tumpat, Rosdi Razali dan Ketua Puteri UMNO Rantau Panjang, Alwani.

"Syabas dan tahniah kepada pengarah program konvoi anak muda, Anwar dan Alwani atas penganjuran himpunan dan konvoi yang mendapat sambutan luar biasa daripada anak muda," katanya.