Selamba bawa kereta 23 tahun tak ada 'road tax'

Pegawai penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan dalam Ops Pengarah JPJ Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di sini,Jumaat lalu. Foto: FB JPJ Pahang.
Pegawai penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan dalam Ops Pengarah JPJ Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di sini,Jumaat lalu. Foto: FB JPJ Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah kereta dengan cukai jalan tamat tempoh sejak tahun 1999 atau hampir 23 tahun lalu antara dua kenderaan yang disita dalam Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di sini, Jumaat lalu.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 325 kenderaan dalam operasi selama tiga jam itu.

Menurutnya, daripada keseluruhan kenderaan diperiksa, pihaknya berjaya mengesan dan mengambil tindakan terhadap 85 kenderaan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 131 notis dan 162 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan 40 saman melibatkan kesalahan tiada lesen memandu.

"Sasaran operasi kali ini lebih kepada kesalahan berkaitan teknikal nombor pendaftaran dan lampu ‘strobe light’ bagaimanapun kesalahan-kesalahan biasa termasuk tiada lesen memandu terus dikesan dan diambil tindakan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kamarul Iskandar berkata, masih ramai penunggang motosikal di negeri ini tidak memiliki lesen memandu.

Menurutnya rata-rata penunggang yang ditahan atas kesalahan itu memberikan pelbagai alasan antaranya masalah kewangan sedangkan mereka mampu memiliki motosikal yang harganya berkali ganda berbanding kos mendapatkan lesen memandu.

"Golongan ini dinasihatkan agar segera mendapatkan lesen memandu dan tidak mengambil mudah kesalahan menunggang tanpa lesen," katanya.

Sementara itu katanya, JPJ Pahang turut melakukan Ops Khas Modifikasi Teknikal di Jalan Tanah Putih di sini pada Khamis lalu.

Pegawai penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dalam Ops Pengarah JPJ Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di sini,Jumaat lalu.
Foto: FB JPJ Pahang
Pegawai penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dalam Ops Pengarah JPJ Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di sini,Jumaat lalu. Foto: FB JPJ Pahang

Beliau berkata, operasi itu memberi fokus kepada motosikal diubah suai tanpa kebenaran.

"Dalam operasi itu 310 kenderaan diperiksa, dan 70 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Sebuah motosikal ditahan selepas dikesan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan dan penunggangnya dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tambah beliau, seorang pemandu disaman di bawah Seksyen 15(4) Akta Pengangkutan 1987 kerana menggunakan kenderaan yang diisytiharkan telah tidak digunakan.

"Kedua-dua kenderaan tersebut telah disita untuk siasatan lanjut," katanya.