Balai Polis Chukai hidupkan tradisi masak bubur syura

Hanyan (dua dari kanan) mengacau bubur asyura sempena program memasak bubur asyura peringkat IPD Kemaman bersama komuniti Balai Polis Chukai 2022 pada Sabtu.
Hanyan (dua dari kanan) mengacau bubur asyura sempena program memasak bubur asyura peringkat IPD Kemaman bersama komuniti Balai Polis Chukai 2022 pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Tradisi memasak bubur asyura secara bergotong-royong dihidupkan menerusi program memasak bubur asyura peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bersama komuniti Balai Polis Chukai, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, program itu melibatkan 63 wakil daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman (lapam) serta empat wakil Balai Polis dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Kemaman.

Menurutnya, aktiviti memasak bubur asyura di pekarangan parkir kenderaan IPD Kemaman itu memakan masa selama empat hingga enam jam untuk disiapkan bermula jam 8 pagi.

"Kita menggunakan resipi daripada pelbagai komuniti yang menggabungkan bahan seperti lengkuas, serai, halia, daging, ayam, beras, santan dan rempah-ratus.

"Aktiviti ini juga dibahagikan kepada 16 kumpulan yang diwakili setiap kampung, jabatan dan PERKEP dengan satu kawah dimasak oleh setiap satu kumpulan," katanya.

Menurut Hanyan, penganjuran program memasak bubur asyura peringkat IPD Kemaman bersama komuniti Balai Polis Chukai 2022 diadakan sempena penyertaan Balai Polis Chukai dalam pertandingan balai polis contoh dalam pencegahan jenayah peringkat nasional pada tahun ini.

"Aktiviti ini akan diteruskan bagi mengeratkan hubungan antara kakitangan IPD Kemaman dan masyarakat di samping memupuk keceriaan dalam program sedemikian sambil beramal.

“Ia juga bertujuan mendekatkan hubungan dan keakraban masyarakat Chukai dengan Polis," katanya.

Pada program itu, Hanyan turut menyampaikan sijil penyertaan, hadiah dan plak kepada pemenang selain mengurangkan jumlah kompaun saman trafik kepada pengguna jalan raya daerah itu.