Pelumba Thailand sekat dominasi Jepun

Sukprasert (tengah) bersama Busti Bagus (kiri) dan Yusri Wakhidur selepas majlis penyampaian pingat ACC BMX 2022 di Arena BMX Nasional, Nilai pada Sabtu.
Sukprasert (tengah) bersama Busti Bagus (kiri) dan Yusri Wakhidur selepas majlis penyampaian pingat ACC BMX 2022 di Arena BMX Nasional, Nilai pada Sabtu.
A
A
A

PELUMBA Thailand, Komet Sukprasert mencipta kejutan apabila mengungguli kategori elit lelaki Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (ACC BMX 2022) di Arena BMX Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Kejayaan Sukprasert meraih pingat emas itu menyaksikan dia muncul satu-satunya pelumba yang berjaya memecah dominasi gergasi Asia, Jepun dalam saingan utama yang turut melibatkan kategori elit wanita, Bawah 23 Tahun (B-23) lelaki dan wanita serta junior lelaki dan wanita.

“Saya sememangnya meletakkan sasaran untuk muncul juara pada kejohanan Asia ini walaupun sedar cabaran sengit yang diterima. Segala-galanya berjalan lancar sejak Perlumbaan 1 hingga 3 apabila saya kekal di tangga teratas.

“Sudah tentu kejayaan ini amat penting bagi saya kerana ia menjadi mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya harap dapat mengumpul mata lagi dalam beberapa kejohanan akan datang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

Amer Akbar (kanan) meraih pingat gangsa saingan B-23 lelaki ACC BMX 2022 di Arena BMX Nasional, Nilai.
Amer Akbar (kanan) meraih pingat gangsa saingan B-23 lelaki ACC BMX 2022 di Arena BMX Nasional, Nilai.

Sementara itu, pingat perak dan gangsa bagi kategori elit lelaki dimenangi dua pelumba Indonesia, Gusti Bagus Saputra dan Yusri Wakhidur Rizal manakala wakil Malaysia, Yohannes Larenza Maehian menduduki tangga ketujuh.

Bagi kategori elit wanita, pelumba Jepun, Kanami Tano muncul juara manakala Amellya Nur Sifa dari Indonesia dan Chutikan Kitwanitsathian (Thailand) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Pelumba Jepun turut menguasai kategori B-23 lelaki dan wanita masing-masing menerusi pelumba pilihan, Ryo Shimada dan Jui Yabuta. Malah, dua wakil Jepun turut menyambar emas kategori junior lelaki dan wanita menerusi Hyoga Kiuchi dan Neneka Nishimura.

Ketika mengulas kejayaan anak-anak buahnya pada kejohanan kali ini, jurulatih skuad kebangsaan BMX Jepun, Masa Sampei berkata, dia sememangnya meletakkan harapan tinggi kepada barisan pelumbanya dalam misi mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Seperti mana yang kita tahu, kejohanan ini menawarkan mata ke Sukan Olimpik 2024. Jadi saya sudah menetapkan satu standard kepada setiap pelumba untuk mereka memburu kejayaan di sini seterusnya mencerahkan peluang beraksi pada Sukan Olimpik di Paris nanti.

“Selepas ini, kami akan membuat persiapan bagi menghadapi beberapa kejohanan akan datang yang turut menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris. Bagi saingan di Malaysia ini, saya boleh katakan misi kami sudah tercapai,” ujarnya.

Di sebalik kejayaan cemerlang kem Jepun, skuad kebangsaan Malaysia juga masih boleh berbangga apabila Amer Akbar Anuar membawa pulang pingat gangsa saingan B-23 lelaki, manakala Eddyna Nasuhar Zainal Abidin menduduki tempat ketiga kategori B-23 wanita.

Eddyna Nasuhar (kanan) tidak pulang tangan kosong apabila membawa pulang gangsa B-23 wanita ACC BMX 2022 di Arena BMX Nasional, Nilai.
Eddyna Nasuhar (kanan) tidak pulang tangan kosong apabila membawa pulang gangsa B-23 wanita ACC BMX 2022 di Arena BMX Nasional, Nilai.