JKM Pahang kesan penerima bantuan jadi pengemis

Mohamed Sabri (kiri) menunjukkan banting Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu yang dipasang sempena Program Jerayawara Bahagian Penguatkuasaan dan Perundangan JKM Peringkat Negeri Pahang di sebuah pusat beli-belah di sini pada Jumaat.
Mohamed Sabri (kiri) menunjukkan banting Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu yang dipasang sempena Program Jerayawara Bahagian Penguatkuasaan dan Perundangan JKM Peringkat Negeri Pahang di sebuah pusat beli-belah di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengesan ada dalam kalangan penerima bantuan agensi itu terlibat dengan aktiviti mengemis.

Ketua Penolong Pengarahnya, Mohamed Sabri Aris berkata, terdapat golongan pengemis tersenarai sebagai penerima bantuan JKM.

Menurutnya, golongan itu dipercayai sengaja meraih simpati dan mengambil kesempatan atas sikap pemurah rakyat negara ini walaupun telah dibantu pelbagai pihak termasuk JKM sendiri.

"JKM Pahang sentiasa melalukan pemantauan bagi membendung kegiatan mengemis di negeri ini bagi mengelak orang ramai tertipu dengan golongan itu.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan aktiviti mengemis ini didalangi pihak atau sindiket tertentu menggunakan warga emas, orang kurang upaya dan warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jerayawara Bahagian Penguatkuasaan dan Perundangan JKM Peringkat Negeri Pahang 'Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu' di sebuah pusat beli-belah di sini pada Jumaat.

Mohamed Sabri berkata, Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu bertujuan membanteras aktiviti mengemis selain menyedarkan masyarakat supaya lebih bijak membantu supaya tidak tertipu oleh individu atau kumpulan yang mengambil jalan mudah meraih keuntungan atas sikap pemurah mereka.

"Orang ramai perlu memainkan peranan dan tidak digalakkan memberi wang kepada pengemis.

"Sekiranya didatangi pengutip derma, pastikan surat kebenaran yang ditunjukkan itu sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa.

"Sebaiknya sumbangan dihulurkan kepada pihak yang berautoriti supaya ia sampai kepada kumpulan sasar," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta menyemak maklumat individu terdesak yang meminta sumbangan melalui laman sosial sebelum tampil membantu bagi mengelak ditipu.

"Sekiranya terdapat aktiviti mengemis di kawasan mereka, orang ramai diminta membuat aduan kepada JKM atau agensi berkaitan.

"Aduan juga boleh dibuat melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke talian 0192615999," ujarnya.