Covid-19: KKM kesan enam kluster baharu pendidikan

Sebanyak 7,063 kluster dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih dua tahun lalu. - Foto Bernama
Sebanyak 7,063 kluster dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih dua tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam daripada 12 kluster baharu yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang minggu ini adalah kluster pendidikan.

Kluster pendidikan ini dikesan di Perak, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya.

Antara kluster pendidikan yang dilaporkan termasuk Kluster Jalan Rektor Nilai 2 di Seremban, Negeri Sembilan (39 kes) dan Kluster Jalan Pantai Endah 2, Lembah Pantai (WP Kuala Lumpur) dengan 14 kes.

Lima kluster baharu lain adalah kluster kumpulan berisiko tinggi (Selangor, Johor, Perak dan Pulau Pinang) dan satu kluster pusat tahanan (Perak).

Secara keseluruhannya, sebanyak 7,063 kluster dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu dan setakat 18 Ogos, sebanyak 34 kluster masih aktif.

Pada Jumaat, sebanyak 3,490 kes harian baharu dilaporkan termasuk tiga kes import.

Terdapat enam kes kematian pesakit Covid-19, menjadikan jumlah kematian untuk tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (13 Ogos - 19 Ogos 2022) sebanyak 60 kes. Kumulatif kes kematian negara akibat Covid-19 setakat ini sebanyak 36,124 kes.

Menurut data CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga jam 11.59 malam 19 Ogos 2022, daripada 3,490 kes, WP Kuala Lumpur mencatat angka tertinggi sebanyak 915 kes.

Negeri lain yang mencatat kes tiga angka ialah Selangor (796), Perak (303), Sabah (272), Negeri Sembilan (241), Pulau Pinang (142), Melaka (141), Sarawak (133), WP Putrajaya (130) dan Johor (116).

Empat buah negeri mencatat kes dua angka iaitu Kedah (97), Kelantan (83), Pahang (76) dan Terengganu (37).

Negeri mencatat kes satu angka ialah Perlis (3) dan WP Labuan (5). - Bernama