ACL 2022: Langkah JDT terhenti di Saitama

Penyerang JDT, Bergson Da Silva (tengah), diberikan kawalan ketat oleh pertahanan Urawa Reds Diamond. - Foto FB Johor Southern Tigers
Penyerang JDT, Bergson Da Silva (tengah), diberikan kawalan ketat oleh pertahanan Urawa Reds Diamond. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 apabila tumpas 0-5 kepada Urawa Red Diamonds pada aksi kalah mati di Stadium Saitama, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir ACL musim ini.

Kedua-dua pasukan bermula baik sebaik wisel permulaan, namun Urawa Red Diamonds lebih dahulu membuka jaringan apabila Alexander Scholz menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-8.

Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan JDT mula mengatur asakan ke gawang Urawa Red Diamonds dalam usaha menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain import Urawa Red Diamonds, David Moberg menjaringkan gol kedua pada minit ke-19 menerusi sepakan percuma yang sama sekali menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Urawa Red Diamonds kemudiannya dilihat mula mendominasi perlawanan dengan melancarkan asakan-asakan berbahaya ke gawang JDT.

Hasilnya, Moberg sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-39 dan seterusnya selesa memimpin perlawanan sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua Urawa Red Diamonds dilihat semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.

Bagaimanapun asakan-asakan berkenaan hanya berjaya menghasilkan jaringan pada minit ke-84 menerusi pemain gantian Kasper Junker yang kemudiannya turut menjaringkan gol kelima pada masa kecederaan.

Kesebelasan utama JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers.
Kesebelasan utama JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers.

JDT – Farizal Marlias (kapten), Matthew Davies, Shahrul Saad, Jordi Amat, Shane Lowry, Corbin Ong, Natxo Insa, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri, Bergson Da Silva

Urawa Red Diamonds – Shusaku Nishikawa (kapten), Hiroki Sakai, Atuski Itoh, Takuya Iwanami, Yosho Koizumi, Jens Karlsson, Yusuke Matsuo, Ken Iwao, Tomoaki Okubo, Alexander Scholz, Ayumu Ohata