Jangan cuba burukkan kredibiliti PAC

Tangkap layar kenyataan dimuat naik Wong Kah Woh di laman Facebooknya.
Tangkap layar kenyataan dimuat naik Wong Kah Woh di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menempelak kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menuduh PAC dipergunakan untuk menyerang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kah Woh meminta Nur Jazlan supaya tidak cuba memburukkan kredibiliti PAC sebagai modal politik.

“Bekas Pengerusi PAC (Nur Jazlan) itu menuduh PAC yang dipengerusikan oleh saya dipergunakan bagi mencari modal politik baharu untuk serang UMNO dan BN.

“Bukan sekali saya telah menjawab tuduhan dan tohmahan sebegitu dan jangan cuba memburukkan kredibiliti PAC. Kamu nak cari jalan keluar politik, ia tidak ada kena mengena dengan PAC dan jangan sentuh PAC.

"PAC adalah bebas, jangan cuba cabar kredibiliti PAC,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Pada Khamis media melaporkan Nur Jazlan mendakwa, Pakatan Harapan (PH) menggunakan PAC sebagai modal politik menerusi Pengerusinya, Wong Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP.

Nur Jazlan yang merupakan bekas Pengerusi PAC berkata, apa yang beliau nampak dalam isu berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kecoh sejak dua minggu lalu, tidak lain tidak bukan hanya permainan politik PH kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat.

Bagaimanapun Kah Woh berkata, PAC tidak membuat laporan mengikut perasaan sendiri dan laporan tersebut berpandukan keterangan dan fakta.

“Laporan PAC merupakan hasil konsensus kesemua ahli-ahli PAC.

“Yang duduk dalam PAC, dari kedua-dua blok Parlimen dan semua satu hati, hendak memastikan wang rakyat dilindungi,” ujarnya.

Menurutnya, Nur Jazlan menyatakan beliau seorang akauntan profesional lulusan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) serta amat arif tentang tata cara dan prosedur dalam setiap pelaporan penemuan yang dibuat oleh PAC.

“Beliau menggelar saya tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan juga dalam korporat mahupun pengauditan antarabangsa.

“Nur Jazlan juga menyatakan jawatankuasa yang dipimpin oleh saya tidak mempunyai pengalaman yang sama selain hanya menjadi politikus.

“Mungkin Nur Jazlan merasakan beliau lebih arif daripada sesiapa pun yang pernah duduk dalam PAC dan saya menghormati pandangan beliau,” ujarnya.

Justeru, Kah Woh mengajak rakyat di negara ini untuk meluangkan sedikit masa dengan melayari laman website PAC Parlimen Malaysia berikutan di situ terdapat Arkib Laporan-Laporan PAC sejak dulu lagi menerusi www.parlimen.gov.my/pac.

“Rakyat boleh membaca Laporan-Laporan PAC yang disediakan semasa Nur Jazlan menjadi Pengerusi PAC bermula Jun 2013 hingga Julai 2015 dan Laporan-Laporan PAC yang disediakan semasa saya yang mana tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan menjadi Pengerusi PAC dari Ogos 2020 hingga sekarang.

“Biar rakyat menilai kualiti laporan-laporan yang dibentangkan. Rakyat yang akan tentukan, bukan Nur Jazlan atau saya sendiri,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, beliau sememangnya menghormati Nur Jazlan semasa menjadi Pengerusi PAC bermula dari 2013 hingga 2015 kerana bersifat vokal dalam isu-isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tetapi semasa Prosiding PAC 1MDB masih berjalan, Nur Jazlan pula menerima pelantikan sebagai Timbalan Menteri dan terus meletak jawatan Pengerusi PAC pada 28 Julai 2015.

“Nur Jazlan sepatutnya menggunakan kearifan beliau untuk membantu PAC pada ketika itu dan habiskan Laporan Muktamad PAC 1MDB dahulu. Tunjukkan diri anda seseorang yang berbeza daripada lain!.

“Lepas dilantik, diam seribu bahasa dan sekarang pula hendak tuduh dan jatuhkan kredibiliti PAC. Kepada mantan Pengerusi PAC yang amat arif, saya fikirkan anda boleh menjadi lebih baik!," jelasnya.