Landas bot bantu tingkatkan pendapatan nelayan darat

Yahanis (kiri) bersama Khairul Shahril (kanan) melihat landas bot yang siap dibina di Lambor Kanan, Bota pada Jumaat.
Yahanis (kiri) bersama Khairul Shahril (kanan) melihat landas bot yang siap dibina di Lambor Kanan, Bota pada Jumaat.
A
A
A

PARIT - Pembinaan landas bot dijangka meningkatkan sumber pendapatan kepada lebih 20 nelayan darat di Lambor Kanan, Bota di sini.

Projek yang disumbangkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bernilai RM38,250 itu telah siap sepenuhnya Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya berkata, landas bot memudahkan nelayan darat melakukan aktiviti pendaratan dan memunggah hasil tangkapan dengan efisien.

"Landas ini dapat memuatkan dua bot pada satu masa. Secara tidak langsung ia dilihat sebagai penyumbang dalam peningkatan sumber pendapatan nelayan-nelayan darat.

"MyKomuniti Perikanan kawasan Lambor juga akan diwujudkan khusus untuk melahirkan komuniti yang mampu bekerjasama melaksanakan aktiviti penangkapan ikan, ternakan akuakultur dan peluang ekonomi," katanya ketika berucap di majlis perasmian penyerahan landas bot nelayan darat di Lambor Kanan, Bota di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, pembinaan landas itu menjadi tarikan baharu bagi penduduk setempat.

"Lokasi ini tidak jauh dari padang koba yang tular di media sosial. Jadi, kawasan ini berpotensi dijadikan tumpuan beriadah dan membuka peluang menjana pendapatan.

"Kita juga dalam perancangan membina sebuah dataran untuk dijadikan pusat aktiviti buat golongan muda di kawasan ini," katanya.

Pada majlis itu, seramai 21 usahawan menerima geran Program Asnaf Berjaya, Skim Sekuriti Makanan Usahawan Perak SADC dan Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start serta Skim Pembiayaan Pinjaman Tanpa Faedah Perak SADC.