Lelaki mengaku salah cederakan bekas kekasih

Muhammad Syazwan (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Muhammad Syazwan (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam bulan serta sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat kerana mencederakan bekas kekasihnya, pada Julai lalu.

Hakim Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Syazwan Mohd Nasir, 26, mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas kekasihnya, Nurshafiqa Zulhainan, 23, menggunakan pisau.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Siti Nur Hidayah Samdin, 25, iaitu rakan kepada bekas kekasihnya dengan menggunakan senjata sama.

Tertuduh yang bekerja sendiri dan tidak diwakili peguam itu merayu hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatan dilakukan termasuk kesalahan terhadap mangsa dan keluarga.

Tertuduh turut merayu kenderaan yang dirampas pihak berkuasa dapat dikembalikan kepada keluarganya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta dua tahun dan enam bulan bagi pertuduhan kedua.

Nariman memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Julai selain mengarahkan kenderaan yang dirampas dipulangkan semula kepada keluarga tertuduh.