Kegiatan seleweng diesel subsidi terbongkar

Tangki minyak pada lori berkenaan sudah diubah suai.
Tangki minyak pada lori berkenaan sudah diubah suai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang sedang mengisi minyak dalam sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak di Ulu Tiram di sini membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, polis terlebih dahulu melihat lelaki berkenaan mengisi diesel ke dalam sebuah lori sebelum melakukan serbuan pada jam 12.30 tengah hari.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati tangki minyak pada lori berkenaan sudah diubah suai.

"Kita turut menemui dua tong berisi diesel dianggarkan 200 liter setiap satu di bahagian belakang kenderaan itu.

"Susulan itu polis menahan seorang lelaki yang berusia 36 tahun yang juga pemandu lori itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas lori, dua tong diesel dianggarkan 272.93 liter diesel serta resit pembelian berjumlah RM186.

Menurut beliau, nilai keseluruhan barang rampasan mencecah RM20,500.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.