Tiga rumah lebih setengah abad musnah terbakar

Tiga buah rumah di Bukit Piatu musnah dalam kebakaran pada malam Khamis.
Tiga buah rumah di Bukit Piatu musnah dalam kebakaran pada malam Khamis.
A
A
A

MELAKA - Enam penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas tiga rumah didiami mereka berusia lebih 50 tahun musnah dalam kebakaran di Bukit Piatu di sini pada malam Khamis.

Kebakaran pada jam 10.30 malam itu menyebabkan tiga buah rumah yang didiami mangsa berusia 30 hingga 60 tahun musnah keseluruhan manakala sebuah rumah terbakar 30 peratus.

Pegawai Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 10.34 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, tiga jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh serta Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 34 pegawai dan anggota.

Zulkhairani
Zulkhairani

"Setiba di lokasi kita mendapati tiga buah rumah telah musnah keseluruhan dan kebakaran hampir merebak ke rumah keempat serta rumah kelima.

"Namun keberkesanan taktikal pemadaman 'fire break' dapat dilaksanakan dan menyelamatkan rumah keempat dari terbakar keseluruhan, malah api dapat dikawal dan tidak merebak ke rumah kelima," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Jelas beliau, kesemua mangsa sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

"Struktur rumah bekembar separuh kekal menyebabkan api mudah merebak, namun pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak dalam tempoh 11 minit

"Punca kejadian dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan," katanya.

Seorang penduduk, Cheah Wei Liang, 43, berkata, ketika kejadian dia sedang berada dalam rumah, namun dikejutkan dengan jeritan jiran yang memberitahu rumah terbakar.

Wei Liang
Wei Liang

Kata Wei Ling, dia segera keluar dan melihat api marak di sebuah rumah bersebelahan kediaman ibunya dan lega apabila ibu serta kakaknya telah keluar menyelamatkan diri.

"Rumah sewa saya pula terletak bertentangan dengan rumah mak, jadi saya sempat melihat apa yang berlaku.

"Kemudian saya masuk ke dalam rumah mak untuk menyelamatkan barangan peribadi, namun terkena percikan api dan mengalami melecur," katanya.