Pendakwaan rayu keputusan benar Peter gantung hukuman, sabitan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi menggantung hukuman dan sabitan atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah berkata, notis rayuan itu difailkan pada 5 Ogos lepas di Mahkamah Tinggi di sini.

"Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 4 Oktober ini," katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini yang turut disertai peguam S.Devanandan yang mewakili Peter.

Peter, 51, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap menfailkan permohonan untuk menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya bagi membolehkannya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 1 Ogos lepas, Hakim Azura Alwi membenarkan permohonannya selepas berpuas hati dengan alasan yang dinyatakan oleh pihak pembelaan.

Pada 26 Mei lepas, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014. - Bernama

Artikel Berkaitan: