STPM 2021: 74 calon di Perak dapat 4.00, seorang gagal

Aznan
Aznan
A
A
A

IPOH - Seramai 74 pelajar daripada 3,385 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Perak memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Aznan Alias berkata, pencapaian 2.19 peratus itu meningkat sebanyak 14 calon berbanding tahun 2020.

Menurutnya, peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.35 peratus kepada 98.58 peratus iaitu 3,337 pelajar.

"Peratusan calon lulus sebahagian pula adalah 1.39 peratus dan 0.03 peratus seorang calon gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, secara keseluruhan, PNGK STPM 2021 bagi negeri ini meningkat 0.02 kepada 2.78 berbanding 2.76 pada tahun 2020.

"Sebanyak 37 sekolah pula telah menunjukkan pencapaian keputusan lulus 100 peratus.

"Rekod menunjukkan 30 sekolah berjaya meningkatkan peratus lulus termasuk mengekalkan pencapaian lulus 100 peratus," katanya.

PNGK calon dalam suatu peperiksaan STPM dihitung berdasarkan purata nilai gred empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am.

Dalam peperiksaan STPM, lulus penuh adalah daripada gred C ke gred A, lulus sebahagian adalah antara gred C- ke gred D, dan gagal adalah pada gred F.