Perhilitan Terengganu pantau kemunculan beruang matahari

Perhilitan Terengganu memantau kemunculan seekor beruang matahari di kawasan sebuah rumah dipercayai di Kampung Baru Kerteh di Kemaman yang tular di media sosial pada Rabu.
Perhilitan Terengganu memantau kemunculan seekor beruang matahari di kawasan sebuah rumah dipercayai di Kampung Baru Kerteh di Kemaman yang tular di media sosial pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang memantau kemunculan seekor beruang matahari di kawasan sebuah rumah dipercayai di Kampung Baru Kerteh di Kemaman, seperti dalam sebuah video yang tular sejak semalam.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, hasil pemeriksaan anggota jabatan itu yang dihantar ke lokasi mendapati rumah berkenaan berdekatan dengan belukar dan terletak lebih kurang tujuh kilometer dari Hutan Simpan Rasau Kerteh.

"Semasa tinjauan dilakukan didapati tiada penghuni di dalam rumah tersebut dan kejadian merupakan kali pertama haiwan berkenaan muncul di kawasan itu. Jadi pihak Perhilitan Terengganu akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan itu, Kean Seong menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan liar, tidak melakukan provokasi serta segera beredar dari lokasi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sejak semalam, tular menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp sebuah video berdurasi 11 saat memaparkan kemunculan seekor beruang matahari yang memanjat tembok dan memasuki kawasan sebuah rumah. - Bernama