Dr Mahathir nafi GTA pecah belah orang Melayu

Dr Mahathir (duduk, tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden Gerakan Tanah Air di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.
Dr Mahathir (duduk, tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden Gerakan Tanah Air di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Gerakan Tanah Air (GTA) menafikan tuduhan bahawa penubuhan gabungan itu akan memecahbelahkan orang Melayu.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun mengakui pihaknya tidak boleh menyatukan semua orang Melayu, khususnya yang terpalit dengan kes jenayah.

“Tuduhan bahawa kita memecahbelahkan orang Melayu tidak benar. Ya, kita akui bahawa kita tidak boleh satukan orang Melayu yang terlibat dengan jenayah dan curi duit.

“Yang ada orang Melayu dalam gerakan ini adalah mereka yang tidak terlibat dengan jenayah. Mereka berjuang untuk bangsa Melayu, negara kita dan agama Islam,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.

Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, GTA juga tidak akan menyaksikan pertembungan sesama calon Melayu pada PRU15.

“Sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti-parti politik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri, kali ini kita tidak berlawan sesama sendiri dah kita bersatu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menegaskan penangguhan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) tidak berlaku ketika beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri pada 2018.

“Saya masih ingat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) ambil alih projek pembinaan LCS daripada Penang Naval Shipyard-Naval Dockyard Sdn Bhd pada 2017, masa itu saya bukan perdana menteri lagi, macam mana nak kata saya tahu itu dan ini," ujarnya.

Isu projek pembinaan LCS mula dibangkitkan susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos lepas mengenai pelbagai kepincangan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam keseluruhan projek perolehan LCS.