Geng Seri aktif pecah rumah akhirnya tumpas

Suspek lelaki berumur 24 hingga 28 tahun ini ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Kuala Besut pada Ahad dan Rabu.
Suspek lelaki berumur 24 hingga 28 tahun ini ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Kuala Besut pada Ahad dan Rabu.
A
A
A

BESUT - Geng Seri yang disyaki terlibat dalam 11 kes pecah rumah di sekitar Kuala Besut di sini tumpas selepas tertangkapnya tiga ahli kumpulan berkenaan yang semuanya merupakan penagih dadah tegar.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek lelaki berumur 24 hingga 28 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Kuala Besut pada Ahad dan Rabu.

"Polis menahan suspek utama yang berumur 28 tahun pada 14 Ogos lepas setelah menerima satu laporan kejadian pecah rumah di Kuala Besut pada hari sama.

"Susulan tertangkapnya suspek utama yang dikenali dengan panggilan Seri, polis berjaya memberkas dua lagi rakannya semalam (Rabu),” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di Kampung Raja, di sini pada Khamis.

Abdul Rozak berkata, siasatan awal terhadap suspek utama mendapati dia melakukan kegiatan pecah rumah, curi dan curi kenderaan secara bersendirian di 11 premis sejak Januari lepas.

Beliau berkata, modus operandi Seri ialah memecah masuk rumah mangsa dengan cara mengumpil tingkap dengan pemutar skru kira-kira jam 1 pagi, sama ada ketika mangsa berada di dalam rumah atau sebaliknya.

"Hasil curi kemudian diserahkan kepada tiga rakannya termasuk seorang lagi yang masih bebas untuk dijual,” katanya.

Abdul Rozak berkata, polis turut berjaya merampas pelbagai jenis barangan dipercayai yang dicuri suspek seperti komputer riba, telefon bimbit, seketul logam dipercayai emas dan sebuah motosikal.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah serta ujian awal saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Mereka kini direman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379 A dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala bagi kesalahan berkaitan dadah pula disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1957, katanya. - Bernama