‘Berhati-hati buat keputusan’

Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
A
A
A

KELAB penyokong bola sepak berbeza pandangan berhubung cadangan untuk mengenakan tindakan lebih tegas ke atas penyokong yang mencetuskan rusuhan termasuk mengharamkan mereka masuk ke stadium.

Pemegang taruh, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu membuat penelitian terperinci sebelum melaksanakan langkah tersebut bagi memastikan ia saksama untuk semua pihak.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Lembah Klang, Faizal Hasbi bersetuju tindakan tersebut, namun perlu dibuat berhati-hati kerana penyokong setia sememangnya datang ke stadium untuk menonton perlawanan, bukan mahu membuat kecoh.

Katanya, pihak berkaitan perlu mencari kaedah terbaik untuk mengenal pasti dalang atau pencetus di sebalik sesuatu kekecohan sebelum mengenakan tindakan tegas.

“Setuju tetapi nak kenal pasti pencetus pergaduhan itu bukan mudah. Sejauh mana ia boleh dibuat. Guna alat pengimbas pun boleh terlepas,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sukan Sinar pada Rabu melaporkan cadangan legenda bola sepak negara, Khalid Ali bahawa sudah tiba masanya FAM mengenakan tindakan lebih tegas ke atas penyokong yang mencetuskan rusuhan termasuk mengharamkan golongan tersebut masuk ke stadium.

Faizal berkata, para peminat dahaga mahu melihat aksi bola sepak dan bukan datang percuma, sebaliknya mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli tiket serta makanan yang mencecah puluhan atau ratusan ringgit.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid pula berpendapat, mana-mana pihak tiada hak untuk menghalang para penyokong daripada memasuki stadium kerana ia tertakluk kepada peraturan.

Beliau berkata, pihak pengurusan stadium boleh meningkatkan tahap kawalan keselamatan dengan mengenal pasti perlawanan yang dikategorikan sebagai panas berdasarkan rekod lalu.

“Tambah jumlah anggota keselamatan yang diletakkan di tengah-tengah antara penyokong kedua-dua pasukan bagi mengelak provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan,” katanya.

Tambahnya, pihak penganjur juga perlu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan penyokong menerusi hebahan, iklan dan poster yang memaparkan denda serta hukuman bagi kesalahan pergaduhan.

“Tegang, kalah atau menang itu biasa dalam sesuatu perlawanan, namun para penyokong perlu lebih beretika dan kawal emosi. Kekecohan biasanya dicetuskan oleh segelintir penyokong yang tidak beretika,” katanya.