Zaharah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kanan) berkenan bergambar bersama Zaharah (dua dari kiri) selepas menyampaikan watikah pelantikan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kanan) berkenan bergambar bersama Zaharah (dua dari kiri) selepas menyampaikan watikah pelantikan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada mantan Ketua Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada Rabu.

Selangor Royal Office dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebooknya memaklumkan, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-259 bersidang pada 30 Jun memperkenankan perlantikan berkuat kuasa 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan ini dinaik taraf daripada Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan oleh MKI pada tahun 1988.

Katanya, jawatankuasa tersebut antara lain bertujuan untuk membincang penyeragaman undang-undang syariah dan pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah di Malaysia.

"Hari ini, Baginda selaku Pengerusi MKI berkenan mengurniakan watikah pelantikan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

"Turut bersama menyaksikan majlis ialah ahli-ahli Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan yang lain, mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar," kata kenyataan itu pada Rabu.