Malaysia sasar 3 kejuaraan di Kejohanan Dodgeball Dunia 2022

Lian Ker (empat, kiri) selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen dodgeball negara yang menggalas cabaran di Kejohanan Dunia 2022.
Lian Ker (empat, kiri) selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen dodgeball negara yang menggalas cabaran di Kejohanan Dunia 2022.
A
A
A

MALAYSIA meletakkan sasaran untuk menyapu bersih tiga kejuaraan pada Kejohanan Dodgeball Dunia 2022 yang dijadual berlangsung di Edmonton, Kanada, dari 28 Ogos hingga 4 September ini.

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V Radhakrishnan berkata, harapan itu diletakkan berdasarkan prestasi cemerlang yang ditonjolkan pemain lelaki, wanita dan pasukan campuran sepanjang sesi latihan menjelang kejohanan itu.

Katanya, selain kategori lelaki dan wanita, Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam kategori baharu iaitu campuran dan yakin mampu memberi cabaran di peringkat dunia.

"Tetapi sudah semestinya cabaran itu akan datang dari Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat seperti sebelum ini. Namun, saya yakin dengan kebolehan dan tahap kecergasan pemain sedia ada," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya pada Rabu.

Malaysia muncul juara kategori lelaki dan wanita pada edisi 2017 di Toronto, Kanada, diikuti pencapaian skuad lelaki mengulangi kejayaan sama pada edisi 2018 di Los Angeles,Amerika Syarikat, sebelum kedua-dua pasukan masing-masing meraih pingat perak pada edisi berikutnya di Cancun, Mexico pada 2019.

Dalam pada itu, Lian Ker berharap skuad dodgeball kebangsaan mampu meneruskan rentak kecemerlangan sukan negara di persada antarabangsa selepas episod manis di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

Di Birmingham, kontinjen negara meraih tujuh emas, lapan perak dan lapan pingat gangsa.

Lian Ker optimis skuad dodgeball negara akan mempamerkan semangat juang tinggi dan terus melakarkan kejayaan bagi memastikan lagu Negaraku berkumandang megah di bumi Kanada. - Bernama

.