UKKM mula operasi September ini

A
A
A

Noh (tengah) menyaksikan sesi pertukaran dokumen MoU antara IKMa dengan Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro).
Noh (tengah) menyaksikan sesi pertukaran dokumen MoU antara IKMa dengan Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro).

Hasil gabungan 100 koperasi terbaik negara bagi melahirkan pelapis pemimpin

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, UKKM yang bertaraf swasta adalah hasil gabungan 100 koperasi terbaik negara bagi melahirkan barisan pelapis pemimpin yang kompeten dan profesional.

“UKKM ini telah mendapat surat kelulusan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Sekarang ini kita sedang menunggu untuk mendapatkan pengiktirafan daripada MQA yang dijangka dalam bulan September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Malam Jalinan Mesra Bersama 100 Koperasi Terbaik sempena sambutan 100 tahun koperasi di sini pada Isnin.

NOH
NOH

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Suriani Ahmad serta Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara IKMa dan Gerakan Koperasi.

Idea penubuhan

Noh dalam ucapannya memaklumkan bahawa idea penubuhan UKKM berjaya direalisasikan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kelulusan pada 28 Mac lalu, manakala penyerahan surat oleh Noraini kepada beliau telah diadakan sebulan kemudian.

Jelasnya, sebanyak 15 program akan ditawarkan oleh UKKM bermula daripada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, hingga ke peringkat doktor falsafah (PHD) dalam bidang pentadbiran dan keusahawanan.

Noh (tengah) menyaksikan sesi pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara IKMa dengan Koperasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Noh (tengah) menyaksikan sesi pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara IKMa dengan Koperasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Untuk pentadbiran, kecenderungannya lebih kepada bahagian pengurusan manakala bagi bidang keusahawanan, graduan yang dilahirkan berupaya menubuhkan koperasi sendiri,” katanya.

Menurutnya, selepas mendapat MQA, universiti ini akan memulakan pengambilan seramai 500 orang pelajar setiap tahun dan dari segi pengambilan pelajar, permohonannya adalah terbuka kepada semua individu.

“Kita galakkan supaya koperasi-koperasi memberi peluang kepada anak-anak ahli dan kakitangan mereka memohon.

“Kita juga berharap mereka akan dapat memberi biasiswa kepada anak atau ahli-ahli mereka,” jelasnya.

Noh (tengah) turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen MoU antara IKMa dengan Koop Sahabat pada Malam Jalinan Mesra Bersama 100 Koperasi Terbaik sempena sambutan 100 tahun koperasi pada Isnin.
Noh (tengah) turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen MoU antara IKMa dengan Koop Sahabat pada Malam Jalinan Mesra Bersama 100 Koperasi Terbaik sempena sambutan 100 tahun koperasi pada Isnin.

Sementara itu katanya, UKKM akan menggunakan kampus IKMa yang terletak di Petaling Jaya sebagai permulaan.

Pada masa sama, pihaknya sedang berunding dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengambil alih bangunan di Cyberjaya dan dijadikan sebagai kampus utama.

Noh turut berharap agar koperasi terbaik yang ada dalam negara ini turut menjadi pemegang saham dalam UKKM kerana ia bertaraf swasta.

“Apabila universiti ini kepunyaan koperasi, maka anak-anak anggota koperasi dan kakitangan boleh menyertai universiti ini. Selain itu, ia juga memberi peluang pekerjaan kepada ahli-ahlinya yang telah mempunyai kelulusan berlatarbelakangkan koperasi.

“Pada masa sama, mereka juga boleh menjadi usahawan koperasi dan mungkin boleh menubuhkan koperasi sendiri melalui pengetahuan yang dipelajari,” ujarnya.

Latihan industri

MOHD ALI
MOHD ALI



Sementara itu, Mohd Ali dalam ucapannya pula mengharapkan semua koperasi di negara ini menerima pelajar-pelajar daripada UKKM untuk melakukan latihan industri.

“Ini membolehkan akhirnya pelajar-pelajar ini mendapat tempat di koperasi-koperasi. Memandangkan hanya 15 program ditawarkan kepada UKKM, kami telah mengadakan MoU dengan beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) supaya koperasi-koperasi ini juga dibekalkan dengan pelajar-pelajar yang mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang, kejuruteraan, arkitek, pengurusan pelancongan dan sebagainya,” tambahnya.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan ini bagi memastikan kejayaan transformasi dan dasar keusahawanan negara di samping membantu kerajaan menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan mahasiswa pada masa kini.

Noh (tengah) menyaksikan sesi pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara IKMa dengan Koperasi Polis.
Noh (tengah) menyaksikan sesi pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara IKMa dengan Koperasi Polis.

IKMa dalam satu kenyataan berasingan pula berkata, UKKM disifatkan sebagai istimewa kerana ia berkonsepkan penggabungan pelajaran dan pengalaman kerja.

“Setiap graduan dilahirkan akan mendapat tempat di koperasi dan industri terpilih yang menjalinkan usaha sama dengan UKKM.

“Usaha ini kelak akan dapat menghasilkan graduan berkelayakan dan profesional yang mampu menyumbang secara produktif kepada gerakan koperasi dalam negara,” katanya.