Sarawak bina dua lagi pusat konvensyen

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah -Foto Bernama
Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sarawak akan membina dua lagi pusat konvensyen di bandar raya ini dan Miri, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, pusat konvensyen di bandar raya ini akan dibina di kawasan bersebelahan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) manakala lokasi pusat konvensyen baharu di Miri masih belum ditentukan.

"Pelan akhir mengenai reka bentuknya akan diketahui selepas diluluskan Kerajaan Sarawak," katanya dalam sidang media penganjuran Kuching Marathon 2022 di sini pada Rabu.

Abdul Karim berkata, pusat konvensyen di bandar raya ini berkemungkinan bersaiz dua kali ganda lebih besar berbanding BCCK.

"Melihat kepada acara konvensyen yang dianjurkan di BCCK, (kita dapati BCCK) sudah tidak cukup untuk menampung program-program lebih besar yang hendak kita adakan.

"Sekiranya boleh kita mahu pembinaannya (pusat konvensyen baharu di Kuching) dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan," katanya.

Mengenai Kuching Marathon 2022, Abdul Karim berkata acara itu akan bermula dan tamat di Padang Merdeka di bandar raya ini membabitkan larian sejauh 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km serta pelepasan peserta seawal 1 pagi pada 2 Oktober depan.

"Jumlah pelari telah mendaftar setakat ini adalah seramai 8,906 orang dan daripada jumlah ini, seramai 5,811 orang pelari dari Sarawak, jadi 3,095 orang pelari dari luar Sarawak termasuk warga asing," katanya.

Beliau berkata, bagi warga asing, keseluruhannya seramai 639 pelari antaranya 290 pelari Indonesia, Brunei (162), Singapura (105), United Kingdom (12), Kenya (7) dan Jepun (6).

Menurutnya penganjur acara itu sudah diminta melanjutkan pendaftaran peserta sekurangnya-kurangnya seminggu hingga dua minggu berikutan tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai lepas. - Bernama.