RM45.15 juta kerugian jenayah komersial di Negeri Sembilan

Ruslan ketika sidang akhbar di USIM pada Rabu.
Ruslan ketika sidang akhbar di USIM pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 1,747 kes jenayah komersial direkodkan di Negeri Sembilan melibatkan kerugian RM45.15 juta dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan merekodkan jumlah kerugian paling tinggi iaitu RM39.7 juta membabitkan 1,676 kes.

"Kalau ikutkan kes jenayah konvensional seperti kes ragut, curi, pecah rumah dan jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sedangkan negara sudah berada pada fasa peralihan ke endemik yang mana jika ikut trend kes jenayah sebegini akan meningkat.

"Tapi sebaliknya berlaku apabila kes jenayah konvensional menurun dan yang meningkat adalah kes jenayah komersial terutama kes penipuan dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Program Townhall Discussion Kontinjen Negeri Sembilan 2022, 'Jangan Jadi Mangsa Scammer dan Keldai Akaun' di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Aibee Ab Ghani dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Negeri Sembilan, Ahmad Faizal Rosehaizad.

Ruslan berkata, masyarakat lebih banyak meluangkan masa di media sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan mereka mudah menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Jelasnya, penjenayah pula mula beralih kepada jenayah dalam talian yang mana dilihat lebih mudah untuk memperdaya mangsa.

Selain itu katanya, kes penipuan pembelian dalam talian mencatatkan jumlah kes paling tinggi bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini iaitu sebanyak 507 kes membabitkan jumlah kerugian RM3.8 juta.

"Diikuti kes Macau Scam iaitu sebanyak 231 kes berbanding hanya 74 kes bagi tempoh sama pada 2021. Jumlah kerugian sepanjang tahun ini adalah sebanyak RM7.6 juta.

"Penipuan pelaburan pula mencatatkan 208 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM6juta berbanding 130 kes dengan jumlah kerugian RM4.1 juta bagi tempoh sama pada 2021," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sindiket penipuan jenayah siber akan menggunakan sentimen emosi untuk mempengaruhi dan memperdaya mangsa.

Katanya, walaupun pelbagai usaha dan kempen dilaksanakan pihak berkuasa bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, ia tidak akan berhasil jika ada yang terlalu mudah membiarkan diri menjadi mangsa.