Azeem, Syafiq terima insentif kerajaan Perak

Saarani menyantuni barisan atlet kelahiran Perak yang mengharumkan nama negara dan negeri di peringkat antarabangsa.
Saarani menyantuni barisan atlet kelahiran Perak yang mengharumkan nama negara dan negeri di peringkat antarabangsa.
A
A
A

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan pemenang pingat Perak Sukan Komanwel 2022, Muhammad Syafiq Puteh antara 24 atlet kelahiran Perak yang menerima insentif daripada kerajaan negeri.

Insentif dengan jumlah keseluruhan RM41,400 itu disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Muhammad Azeem yang memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, minggu lalu menerima insentif sukan berjumlah RM1,000.

Beliau turut menerima insentif kecemerlangan akademik RM600 atas kejayaan memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Sementara itu, Muhammad Syafiq menerima insentif RM6,000 selepas membantu Kontinjen negara meraih pingat perak dan gangsa pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi acara terjun.

Pingat perak dihadiahkan menerusi acara 3 meter papan anjal seirama gandingan bersama Gabriel Gilbert Daim manakala pingat gangsa diraih dalam acara 3 meter papan anjal seirama campuran bersama Nur Dhabitah Sabri.

Turut menerima insentif sama, pemenang pingat emas dan perak Kejohanan Muay Thai Dunia 2022, Mohammad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azrilrizal masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,500.

Saarani menyampaikan Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.
Saarani menyampaikan Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Bercakap kepada pemberita, Saarani berkata, pemberian insentif itu sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan kepada barisan atlet untuk terus mengharumkan nama negara dan negeri di peringkat antarabangsa.

Katanya, pemberian itu juga diharap menjadi suntikan motivasi kepada atlet yang berjaya menunjukkan pencapaian seimbang antara akademik dan sukan yang diceburi.

"Kejayaan atlet-atlet ini membuktikan kepada pelajar bahawa sukan tidak akan merosakkan akademik mereka.

"Sekiranya mereka dapat berikan perhatian, susun jadual dengan betul, kejayaan akan dapat dicapai dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan sukan," katanya.