Dua minit lesap RM3,720!

Yeo Wai (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kehilangan wangnya dipercayai digodam bulan lalu.
Yeo Wai (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kehilangan wangnya dipercayai digodam bulan lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang kontraktor kehilangan RM3,720 dalam tempoh dua minit selepas akaun bank miliknya dipercayai digodam, bulan lalu.

Mangsa, Leong Yoe Wai, 56, berkata, kejadian itu berlaku selepas pertama kali melakukan pindahan wang dengan menggunakan aplikasi perbankan dalam talian di telefon bimbitnya.

"Saya tidak pernah guna aplikasi bank tetapi hari itu saya perlu membayar wang insurans RM202.10 kerana saya dikuarantin.

"Kebiasaannya apa-apa bayaran saya guna wang tunai sahaja. Saya sedar wang lesap ketika mahu mengeluarkan wang di bank pada 30 Julai lalu. Baki akaun tinggal RM10.93," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di sini pada Rabu.

Menurutnya, semakan mendapati terdapat tiga transaksi pemindahan wang kepada dua akaun yang tidak dikenali.

"Semakan mendapati transaksi itu berlaku selepas membayar wang insurans terbabit. Wang itu adalah simpanan untuk kecemasan.

"Timbul persoalan bagaimana wang itu boleh dipindahkan dengan mudah kerana saya tidak menerima sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) bagi transaksi itu," katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis Taman Rishah.

Kata Yoe Wai, dia bertindak menutup akaun di bank berkenaan kerana sudah tidak yakin dengan sistem perbankan negara.

"Wang simpanan tetap bernilai RM10,000 turut dikeluarkan kerana saya tidak mahu mengalami kerugian lagi.

"Saya lebih selesa dengan kaedah tradisional menyelesaikan apa-apa bayaran ataupun pindahan wang secara manual di mesin pengeluaran wang automatik (ATM)," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, Bank Negara perlu menaik taraf sistem keselamatan bank bagi melindungi hak pengguna.

Katanya, Cyber Security, polis, Kementerian Kewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu memainkan peranan agar kes melibatkan scammer mahupun penggodam dapat diatasi.

"Dalam kes seperti ini, pengurusan bank kadang kala berdolak-dalik dan jawapan yang sering diterima adalah kerana kecuaian.

"Pihak berkuasa menjalankan siasatan sebaiknya tetapi kes ini masih berleluasa. Diharapkan semua pihak dapat mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini," katanya.