Air tangan 'hero' Agrobank pikat juri

Tengku Ahmad Badli Shah menyediakan masakan pada pertandingan masakan Bila Hero MAFI Masuk Dapur sempena MAHA 2022.
Tengku Ahmad Badli Shah menyediakan masakan pada pertandingan masakan Bila Hero MAFI Masuk Dapur sempena MAHA 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin muncul ‘hero’ Agrobank selepas dinobatkan sebagai pemenang pertandingan masakan Bila Hero MAFI Masuk Dapur dan Kopi Tarik sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Kedua-dua pertandingan itu berlangsung di kluster Agro Kulinari dan ia turut disertai beberapa pimpinan korporat dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Tengku Ahmad Badli Shah pada awalnya menyertai pertandingan itu sekadar suka-suka dan untuk memberikan sokongan kepada rakan-rakannya daripada pelbagai agensi lain di bawah MAFI.

“Saya sama sekali tidak menyangka hasil air tangan masakan saya telah berjaya menambat hati juri dan seterusnya dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan ‘Bila Hero MAFI Masuk Dapur’ ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menerusi pertandingan Kopi Tarik pula, Tengku Ahmad Badli Shah mempamerkan aksi dan kemahiran Kopi Tarik yang menarik dengan teknik-teknik pengendalian kole yang luar biasa sekali gus turut dinobatkan sebagai pemenang bagi pertandingan tersebut.

Tengku Ahmad Badli Shah mempamerkan aksi menarik dan muncul juara dalam pertandingan Kopi Tarik.
Tengku Ahmad Badli Shah mempamerkan aksi menarik dan muncul juara dalam pertandingan Kopi Tarik.

Pertandingan Bila Hero MAFI Masuk Dapur dan Kopi Tarik itu diacarakan selebriti chef, Prof Datuk Chef Zam serta turut diadili oleh beberapa juri profesional, termasuklah selebriti chef, Chef Jo (Johari Edrus).

Penganjuran MAHA 2022 diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang pada 4 hingga 14 Ogos lepas telah mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran melebihi 1.4 juta pengunjung dan nilai jualan melangkau RM260 juta, melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

MAHA 2022 ini turut menampilkan 22 segmen khusus seperti Agro Youth, Agro Edutainment dan sebagainya dengan pelbagai program dan aktiviti, malah berjaya mengangkat sektor pertanian dan agromakanan dan sekali gus berupaya menarik minat lebih ramai golongan belia dan remaja untuk menceburi sektor ini.