Hakim dihukum mati kerana bunuh isteri

Shaimaa Gamal - Foto @Zeinobia/Twitter
Shaimaa Gamal - Foto @Zeinobia/Twitter
A
A
A

KAHERAH - Sebuah mahkamah di Mesir pada Selasa menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang hakim dan rakan sejenayahnya kerana membunuh isterinya yang merupakan pengacara televisyen, kata badan kehakiman negara itu.

Mahkamah Jenayah Giza itu akan merujuk kepada Mufti Besar Mesir tentang keputusan tersebut yang merupakan formaliti dalam kes hukuman mati.

Pejabat pendakwa raya berkata, pada bulan lalu bahawa hakim tersebut, Ayman Haggag telah didakwa atas pembunuhan terancang isterinya, Shaimaa Gamal bersama-sama rakan sejenayah yang juga seorang ahli perniagaan, Hussein al-Gharabli.

Mayat Shaimaa ditemui di sebuah vila terpencil pada Jun lalu, hampir tiga minggu selepas suaminya melaporkan dia hilang berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Hussein.

Menurut AFP, Hussein telah mengaku peranannya dalam jenayah itu.

Mayat mangsa ditanam di sebuah ladang di kawasan Badrashin di Giza.

Pendakwa Raya menyatakan hakim tersebut melakukan pembunuhan terancang untuk menyingkirkan isterinya selepas mangsa meminta wang sebagai balasan supaya tidak akan mendedahkan rahsianya, lapor akhbar Egypt Independent.

Kelulusan Mufti Besar tentang hukuman tersebut dijangka diumumkan pada 11 September depan. - Agensi