Haramkan penyokong ganas masuk stadium

Tercetus pergaduhan penyokong semasa saingan Liga Premier menemukan Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Selasa lalu. Gambar kecil dari kiri: Azlan Johar, Azlan Johar
Tercetus pergaduhan penyokong semasa saingan Liga Premier menemukan Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Selasa lalu. Gambar kecil dari kiri: Azlan Johar, Azlan Johar
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa mengambil tindakan lebih keras termasuk mengharamkan mana-mana individu yang didapati bersalah mencetuskan rusuhan hadir ke stadium.

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata, tindakan tersebut perlu adil dan saksama tanpa memilih bulu termasuk para penyokong dari mana-mana kelab yang berpengaruh sekali pun.

Beliau yang mempunyai pengalaman sama ketika bergelar pemain pada era 1980-an juga berasa hairan bagaimana budaya samseng itu masih berlaku sedangkan Liga Malaysia sudah berada dalam fasa profesional.

Pada masa sama kata beliau, tindakan tersebut perlu adil dan saksama tanpa memilih bulu termasuk para penyokong dari mana-mana kelab yang berpengaruh sekali pun.

"Terbaik (haramkan masuk stadium). Kita sudah profesional. Kenapa ada lagi masalah macam ini (kekecohan). Masa saya main di Kelantan dulu. Sampai tidak boleh keluar dari stadium. Masa itu zaman amatur.

"Andai penyokong nak boikot (sebab penyokong ganas diharamkan masuk stadium), kita tidak boleh buat apa. Sampai bila kita nak biarkan jadi macam ini (pergaduhan). Tindakan keras mesti dikenakan.

"Ada juga penonton dari pasukan yang ada pengaruh tidak diambil tindakan. Saya rasa tidak adil kalau kita pilih bulu," katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Saingan Liga Premier menemukan Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Rabu lalu diwarnai insiden panas apabila berlaku provokasi sebelum tercetus pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan.

Keadaan itu turut menyebabkan cermin bas yang membawa pemain Perak FC pecah dan kekecohan di atas padang, tempat duduk penonton merebak hingga ke luar stadium.

Khalid menegaskan, para penyokong perlu menerima hukuman tegas tersebut dan tidak mengambil tindakan yang boleh merugikan pasukan dan kelab kesayangan mereka.

"Mereka terpaksa terima tindakan. Kalau sayangkan pasukan, jangan ambil tindakan yang merugikan pasukan kesayangan mereka.

"Bagi para peminat apabila ada dalam kalangan mereka yang buat kacau dan rosakkan imej pasukan kena ambil tindakan dan serah kepada polis," katanya.

Dalam pada itu, pemerhati bola sepak tanah air, Azlan Johar pula berharap para penyokong bersikap matang dan kawal emosi dengan lebih baik selaras dengan era teknologi moden ketika ini.

Katanya, mereka perlu menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, biarpun pasukan kesayangan tewas dalam sesuatu perlawanan dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

"Buat peminat, bukan penyokong Kelantan FC atau Perak FC sahaja. Zaman sudah canggih. Bagaimana bola sepak negara nak maju jika ada lagi unsur-unsur yang tidak baik ini.

"Tindakan buruk ini diperhatikan oleh banyak pihak. Anak-anak, tular di media sosial dan televisyen. Ia sesuatu yang memalukan," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, sebagai tuan rumah perlu menghormati tetamu iaitu pasukan pelawat yang datang bersama para pemain dan penyokong.

"Kita layan mereka dengan baik. Andai dia buat provokasi dan cuba cetuskan pergaduhan jangan dilayan. Kalau kita layan kita pun sama macam mereka.

"Apa tindakan kita, ambil gambar atau video dan serahkan kepada polis untuk siasat bukan ambil tindakan sendiri yang boleh merugikan pasukan yang mungkin dikenakan denda atas tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penyokong," ujarnya.