Jenazah 3 pelajar dikebumi dalam satu liang lahad

Orang ramai mengaminkan doa selepas ketiga-tiga jenazah Muhamad Syafawi Zayadi, 17, Mohamad Noriman Bastaman, 17, dan Daing Muhammad Afeeq Mohd Afeeq-ur Rahman, 16, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lok Heng Barat, hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA TINGGI - Jenazah tiga pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim, Felda Lok Heng, Kota Tinggi yang maut dalam kemalangan jalan raya semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Felda Lok Heng, di sini.

Jenazah Mohamad Noriman Bastaman, 17, Daing Muhammad Afeeq Mohd Afeeq-ur Rahman, 16, serta Muhamad Syafawi Zayadi, 17, selamat dikebumikan pada 12 tengah hari tadi.

Sebelum itu, satu solat jenazah diadakan di surau sekolah mereka pada sebelah pagi dengan penyertaan kira-kira 1,000 orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pelajar maut, seorang guru cedera

Antara yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor Aminolhuda Hassan, ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari; Pemangku Pengarah Pelajaran Johor, Azman Adnan dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Mohd Fadil Ishak.

Aminolhuda berkata, solat jenazah diadakan selepas mendapat persetujuan keluarga semua mangsa.

“Atas usaha YB Rosleli dan pihak Hospital Kota Tinggi, urusan bedah siasat ke atas ketiga-tiga jenazah pelajar berkenaan juga dapat disempurnakan lebih awal dan kesemua jenazah sempat dibawa pulang ke rumah masing-masing di Felda Lok Heng," katanya.

Tambahnya, kejadian semalam berlaku ketika semua mangsa bersama seorang guru mereka sedang dalam perjalanan pulang daripada menyertai aktiviti Pertandingan Petanque Peringkat Daerah di SMK Semenchu.

"Mereka bertiga dan seorang guru pengiring iaitu Cikgu Widyawati Simaran mewakili sekolah dalam Pertandingan Petanque Peringkat Daerah di sekolah terbabit,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa maut selepas kereta Proton Wira dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi di Simpang Lok Heng berdekatan Bandar Penawar di sini.

Kemalangan turut menyebabkan Widyawati, yang bersama mereka cedera manakala pemandu Perodua Myvi, Naziha Aqmaliah Mazlan, 24, patah kaki dan kini sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia