RUU Anti Lompat Parti akan dipersembah kepada Agong

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dijangka dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenankan dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia selepas keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dari luar negara.

"Sekarang Tuanku berada di luar negeri, sekembalinya nanti ia akan dipersembahkan untuk diperkenankan mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi sesi temubual bersama pemberita pada Selasa.

Menurutnya, selepas ia diperkenankan kali pertama, RUU itu akan dikembalikan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) untuk diformatkan sebelum sekali lagi dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

"Seksyen 2 RUU menyatakan penguatkuasaan undang-undang ini mestilah mendapat perkenan Tuanku.

Selepas itu, barulah undang-undang tersebut digazetkan oleh AGC.

"RUU itu dengan sendirinya akan menjadi undang-undang negara pada hari ia digazetkan," katanya.

Jelas Wan Junaidi, RUU tersebut tidak terpakai selagi mana ia belum digazetkan.

"Ada orang tanya saya, Datuk Seri, RUU ini sudah lulus di Dewan Rakyat, masih boleh boleh lompat (parti) ke?

"Saya jawab, belum jadi undang-undang boleh lompatlah," katanya.

Pada 28 Julai lalu, RUU Anti Lompat Parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan di luluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos.

Dalam pada itu Wan Junaidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mengesyorkan pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Ini untuk memastikan undang-undang yang bakal dilaksanakan di peringkat Persekutuan selaras dengan pelaksanaan di semua negeri termasuk penggunaan perkataan bagi mengelakkan sebarang konflik," katanya.

Tambahnya, satu sesi libat urus akan diadakan bersama negeri bagi tujuan itu.

Ujarnya empat negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang mempunyai undang-undang sendiri boleh melaksanakannya berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Ogos lalu.

"Saya yakin empat negeri ini ambil tindakan sewajarnya dan kalau boleh ikut format kerajaan Persekutuan untuk kebaikan bersama," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How yang keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wan Junaidi memaklumkan beliau perlu mengkaji perkataan yang digunakan dalam undang-undang negeri tersebut.

Sebelum ini, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen antilompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu, berkata Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih, selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.