Lebih 70 rumah di Dungun, Kemaman rosak dipukul ribut

Antara kediaman penduduk yang rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian pada Isnin.
Antara kediaman penduduk yang rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 70 buah rumah di daerah Dungun dan Kemaman rosak dipukul ribut dalam kejadian berlaku pada petang Isnin.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi di Dungun manakala di Kemaman pula melibatkan Bandar Baru Cheneh dan Felda Neram.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejadian berlaku selama kira-kira setengah jam itu mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk tercabut dan rosak dipukul ribut.

"Sebanyak 52 buah rumah di Bukit Besi dan AMBS yang dikenal pasti terlibat setakat ini.

"Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah ke lokasi untuk melihat kerosakan dan bantuan atap telah dihantar ke rumah penduduk terlibat," katanya ketika dihubungi disini, pada Selasa.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ekoran kejadian itu.

"Angin kuat dan hujan lebat menyebabkan banyak pokok tumbang namun tiada rumah penduduk yang dihempap pokok dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, sebanyak 27 buah rumah dihuni oleh 135 penduduk di kawasan Cheneh dan Felda Neram dikenal pasti terlibat dalam kejadian ribut tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah sebenar rumah dan penduduk yang terlibat sedang dikemaskini.

"Kita akan gunakan peruntukan Tabung Darul Iman untuk kerja-kerja pembaikan," katanya.