Responden sekali lagi mohon mahkamah tolak afidavit Najib

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan responden sekali lagi memohon agar Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, menolak afidavit yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram berkata demikian ketika berhujah dalam prosiding permohonan memasukkan bukti tambahan di hadapan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Sithambaram berkata, afidavit itu dibuat menerusi permohonan notis usulnya untuk memasukkan bukti tambahan yang menyentuh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika mendengar kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Ketika memulakan hujahan, Sithambaram berkata, mahkamah boleh mengarahkan afidavit itu ditolak kerana ia tidak mengikut undang-undang.

Menurutnya, kandungan afidavit itu tidak berdasarkan pengetahuan peribadi Najib selaku pemohon, sebaliknya atas dasar dengar cakap.

"Kandungan afidavit itu pula, tidak lebih kepada tuduhan yang bukan sahaja tidak berasas malah tidak disokong dengan bukti kukuh.

"Persoalan undang-undang di sini ialah kami menyatakan bahawa kandungan afidavit itu tidak relevan dengan rayuan akhir yang dihadapi pemohon," katanya.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Selain Sithambaram, responden turut diwakili empat Timbalan Pendakwa Raya Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.

Bagi pihak pemohon pula, Ahli Parlimen Pekan itu diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, M Rueben dan Hannah Kam Zhen Yi.

Pada Selasa, Najib memohon untuk memasukkan tujuh dokumen antaranya keterangan lisan iaitu 'viva voce' oleh beberapa pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes SRC.