Murid tahun enam maut terkena renjatan elektrik semasa petir

Nur Asyqin Qistina
Nur Asyqin Qistina
A
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Seorang murid tahun enam maut dipercayai terkena renjatan elektrik semasa panahan petir berlaku di Kampung Sungai Raya Luar di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, Nur Asyqin Qistina M Nor Zawawi,12, ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas tilam di dalam bilik tidurnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan lecur pada tangan kanan mangsa dan terbakar di bahagian tilam tempat tidurnya.

"Menurut maklumat daripada pengadu yang merupakan bapa kepada kanak-kanak itu mendapati terdapat telefon bimbit dan pengecas berdekatan anaknya semasa kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, semasa kejadian bapa mangsa baharu selesai menunaikan solat Asar di surau hadapan rumahnya dan terdengar bunyi petir.

Beliau berkata, sebaik sahaja pulang ke rumah pengadu telah dimaklumkan bahawa bekalan elektrik telah tiada dan kemudian dia menghubungi pihak invertor solar.

Choon Foo berkata, pengadu dimaklumkan bahawa alat tersebut telah rosak akibat daripada panahan petir.

"Selang 15 minit kemudian, isteri pengadu memaklumkan bahawa Nur Asyqin Qistina telah pengsan di tempat tidurnya dan mendapati terdapat telefon bimbit serta pengecas berdekatan mangsa," katanya.

Menurutnya, pengadu telah membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan mangsa telah disahkan meninggal dunia.

"Hasil siasatan tempat kejadian didapati tiada terdapat keterangan yang boleh mengaitkan sebab kematian simati adalah disebabkan perlakuan jenayah dan dipercayai kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap invertor solar rumah pengadu," katanya.

Tambah beliau, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang pada jam 8 malam pada Isnin untuk tindakan selanjutnya.