AFC keluarkan jadual aksi kalah mati ACL 2022

Final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (FC) dijangka tidak akan berlangsung dalam masa terdekat. - Foto Bernama.
Final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (FC) dijangka tidak akan berlangsung dalam masa terdekat. - Foto Bernama.
A
A
A

FINAL Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (FC) dijangka tidak akan berlangsung dalam masa terdekat.

Ia susulan kenyataan media Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Isnin berhubung aksi kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 Zon Asia Timur yang turut disertai JDT.

Mengikut jadual, JDT bakal berdepan juara dua kali dari Jepun, Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama Jumaat ini.

Jika berjaya melepasi aksi awal pusingan kalah mati itu, skuad Harimau Selatan akan terus berada di Jepun bagi mengharungi saingan suku akhir.

Undian suku akhir dan separuh akhir diadakan pada 20 Ogos. Aksi suku akhir dijadual berlangsung pada 22 Ogos diikuti separuh akhir tiga hari kemudian.

Dua finalis yang mara ke final ACL kali ini pula bakal berentap dalam dua aksi final yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 26 Februari tahun depan.

Selain JDT dan Urawa Red, aksi kalah mati yang diadakan secara berpusat di Jepun itu turut menampilkan Daegu FC, Jeonbuk Hyundai Motors FC, Vissel Kobe, Yokomaha Marinos, Kitchee SC dan BG Pathum United.

Bagi menghadapi aksi kalah mati ACL 2022, JDT membawa 35 pemain termasuk lapan tenaga import diketuai Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.