JBPM siap siaga hadapi musim kemarau

Musim kemarau yang lazimnya berlaku antara Mei hingga September. Gambar hiasan.
Musim kemarau yang lazimnya berlaku antara Mei hingga September. Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) siap siaga menghadapi musim kemarau yang lazimnya berlaku antara Mei hingga September.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, semua aset pemadaman dan anggota terlibat telah ditempatkan di pangkalan dan lokasi-lokasi 'hotspot'.

"Untuk hotspot kemarau ini kita telah kenal pasti beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Pahang, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Negeri Kedah dan Perlis di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini pada Isnin.

Walau bagaimanapun Mohammad Hamdan berkata, cuaca pada ketika ini tidak menentu seperti yang diramalkan sebelum-sebelum ini.

"Jadi kita nasihatkan orang ramai supaya peka dengan persekitaran dari semasa ke semasa sebab bila hujan selalunya akan berlaku banjir kilat.

"Kalau berlaku sesuatu di luar jangka mereka perlu maklumkan kepada agensi-agensi kecemasan," katanya.

Mohammad Hamdan (kanan) menyerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Negeri Kedah dan Perlis di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini pada Isnin.
Mohammad Hamdan (kanan) menyerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Negeri Kedah dan Perlis di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini pada Isnin.

Mohammad Hamdan menambah, komuniti juga dinasihatkan menghentikan aktiviti pembakaran terbuka untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka digalakkan melaporkan kepada agensi-agensi berkaitan sekiranya ternampak sebarang pembakaran terbuka berlaku di mana-mana kawasan.

“Pihak pengurusan tempat pelupusan sampah juga diminta untuk memantau kawasan berkenaan bagi mengelakkan aktiviti pembakaran kerana bimbang ia akan menyebabkan berlakunya jerebu dan asap yang tidak sihat dan menjadi punca kepada masalah kesihatan masyarakat," katanya.