Sisa sampah ancam hidupan laut

KSK Land dan SWM Environment berjaya mengutip sejumlah 70kg sisa pantai pada Isnin.
KSK Land dan SWM Environment berjaya mengutip sejumlah 70kg sisa pantai pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - KSK Land dan SWM Environment berjaya mengutip sejumlah 70 kilogram (kg) sisa pantai di daerah ini pada Isnin.

Pengarah Urusan KSK Land, Joanne Kua berkata, ia terdiri daripada 616 puntung rokok, 13.72 kilogram bekas minuman plastik, tin minuman aluminium, bekas makanan plastik, pembungkus plastik, mainan kanak-kanak dan sebagainya.

"Orang ramai tidak menyedari kesan sisa yang tidak diuruskan dengan baik terutama bahan plastik bukan hanya mengotori pemandangan dan mencemari persekitaran pantai tetapi memberi ancaman kepada hidupan laut sekiranya dibawa arus semasa air pasang.

"Sisa plastik yang terurai di dalam laut lama-kelamaan boleh bertukar menjadi mikroplastik. Mikroplastik ialah plastik yang mengalami proses pereputan sehingga menjadi partikel-partikel halus yang bersaiz kurang dari 5 milimeter," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

KSK Land dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menjalin kerjasama buat julung kalinya melaksanakan program pembersihan dan pengasingan sisa pantai di Port Dickson dan disertai seramai 30 orang sukarelawan daripada kedua-dua buah syarikat.

Tambah Joanne, pihaknya berbesar hati atas peluang untuk bekerjasama dengan SWM Environment bagi menjayakan program pembersihan pantai ini.

"Sebagai syarikat yang mengutamakan 'placemaking', kami berharap agar inisiatif ini dapat menjadi contoh kepada orang ramai akan kepentingan untuk memainkan peranan mereka dalam memelihara keindahan alam sekitar daripada pencemaran plastik.

"Selain itu, KSK Land juga gigih meningkatkan usaha-usaha untuk membangunkan program pelestarian kami dan menggalakkan orang ramai mengambil bahagian pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, melalui kerjasama erat diantara agensi-agensi swasta yang lain juga menjadi salah satu usaha positif mewujudkan masyarakat yang peka terhadap keperluan alam sekitar pada Isnin.

"Oleh itu, aktiviti pembersihan pantai yang dilaksanakan ini dapat membantu menyelamatkan hidupan marin daripada dicemari dengan sisa plastik selain daripada menjadikan kawasan pantai berada dalam keadaan bersih.

"Pengunjung yang datang berkunjung ke pantai diminta untuk memberikan kerjasama untuk menggunakan fasiliti tong sampah yang telah disediakan bagi melupuskan sisa yang dijana ketika berkunjung di pantai," katanya.