PDC bina perumahan kos rendah di tanah terbiar

Kon Yeow (tujuh dari kanan) bergambar selepas pecah tanah projek rumah pangsa tiga tingkat di Taman Murai Jaya, Bukit Tambun pada Isnin.
Kon Yeow (tujuh dari kanan) bergambar selepas pecah tanah projek rumah pangsa tiga tingkat di Taman Murai Jaya, Bukit Tambun pada Isnin.
A
A
A
BATU KAWAN - Selepas lebih 30 tahun terbiar akhirnya sebidang tanah di Taman Murai Jaya, Bukit Tambun, di sini akan dibangunkan rumah pangsa tiga tingkat yang dijangka siap tahun depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu melibatkan peruntukan RM6.45 juta daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, projek terbabit merupakan antara tanggungjawab sosial dan komitmen kerajaan negeri dalam membantu golongan B40 terutamanya penduduk sekitar mendapatkan rumah.

"Walaupun projek ini berskala kecil namun ia dapat membantu 36 keluarga mendapatkan rumah mereka melalui skim sewa beli yang ditawarkan nanti.

"Saya harap projek ini dapat siap mengikut jadual yang ditetapkan dan akhirnya dapat menyelesaikan isu tanah terbabit yang telah berlarutan sejak sekian lama,"katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek rumah pangsa tiga tingkat di Taman Murai Jaya, Bukit Tambun di sini pada Isnin.

Ditanya mengenai isu yang menyebabkan tanah terbabit terbiar, Kon Yeow berkata, tanah berkenaan tidak diserahkan oleh pemaju kepada pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya dibina perumahan kos rendah.

Jelasnya, selepas berpuluh tahun isu itu berlarutan akhirnya pemaju bersetuju untuk menyerahkan tanah tanpa sebarang pembinaan.

"Sepatutnya sebagai tunai syarat pemaju perlu bina perumahan kos sederhana di sini tetapi mereka tidak laksanakan.

"Selepas tanah ini diserahkan, kita putuskan untuk bangunkan sendiri perumahan ini bagi memanfaatkan penduduk di sekitar Bukit Tambun," ujarnya.