Pengundi baharu, automatik jadi cabaran dalam kajian sikap BN

Noraini
Noraini
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pengundi baharu dan automatik menjadi cabaran dalam kajian sikap oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, laporan kajian sikap yang ditugaskan kepada jentera Wanita BN itu kini dalam peringkat akhir untuk disiapkan dan diserahkan kepada pengurusan tertinggi sebelum akhir tahun ini.

"Tugasan ini bukan mudah. Bukan hanya sikap wanita tetapi seluruh rakyat dalam pelbagai segmen umur.

"Dalam kita menyediakan laporan ini, banyak cabaran yang kita hadapi terutamanya pengundi baharu.

"Dengan pendaftaran pengundi automatik ketika ini, setiap masa akan ada pertambahan pengundi di kawasan-kawasan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, dalam siri jelajah ke negeri-negeri bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, yang merupakan Pengarah Pilihan Raya, pemantauan dan audit dilakukan bagi setiap laporan dari peringkat negeri sehinggalah ke lokaliti.

"Alhamdulillah, berdasarkan respon yang kita terima ketika ini, sokongan amat positif," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, pembubaran Parlimen akan dilakukan sebaik sahaja beliau menerima laporan kajian sikap yang dilaksanakan Pergerakan Wanita BN.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO mahu seluruh Wanita BN melaksanakan kajian sikap itu secara menyeluruh untuk mendapatkan data yang lengkap mengenai pihak lawan pada pilihan raya umum akan datang.