Puhaz tak urus jemaah pengkid

Mohd Ali Sabri (tengah) ketika sidang akhbar di sebuah restoran di Ipoh pada Isnin.
Mohd Ali Sabri (tengah) ketika sidang akhbar di sebuah restoran di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (Puhaz) menegaskan tiada ahli mereka yang terlibat mengendalikan jemaah umrah wanita berpakaian lelaki ke Tanah Suci seperti yang tular baru-baru ini.

Setiausaha Agung Puhaz, Abdul Jabbar Abdul Kahar berkata, maklumat awal yang diperoleh, individu tersebut melakukan perbuatan itu tanpa melalui mana-mana syarikat agensi pelancongan.

Menurutnya, 35 ahli terdiri daripada syarikat pengendali umrah di dalam Puhaz tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan jemaah umrah kendalian mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama lebih-lebih lagi ketika menunaikan umrah.

"Di pihak Puhaz, kita beri peringatan kepada jemaah adalah lebih baik pergi dengan agensi pelancongan kerana ada pemantauan dari sudut hukum. Kalau dari sudut hukum, perempuan dalam keadaan dia pakai ihram menampakkan aurat tak sah dan haram perjalanan tawafnya. Pergi Makkah bukan untuk suka-suka.

"Ini salah satu risiko jika tidak ada mutawif untuk bimbing kerana ia akan memberi kesan sekiranya umrah tidak diselesaikan mengikut kaedah sepatutnya," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sebuah restoran di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan seorang wanita yang berpakaian lelaki menunaikan umrah baru-baru ini sehingga videonya tular di media sosial.

Menerusi maklumat yang tular, wanita terbabit beralamat di Perak dan tindakan tersebut turut mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa agama.

Sementara itu, bagi Presiden Puhaz, Mohd Ali Sabri Abd Rahman, pihaknya menyokong penuh tindakan tegas diambil terhadap individu berkenaan kerana tindakan yang dilakukan satu penghinaan kepada agama.

Menurutnya, pada masa sama tindakan undang-undang perlu dikenakan ke atas individu berkenaan agar kejadian sama tidak berulang.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali Sabri menjelaskan kira-kira 1,000 jemaah umrah kelolaan Puhaz terpaksa menangguhkan pemergian mereka ke Makkah disebabkan masalah penerbangan.

Jelasnya, segala usaha telah dilakukan untuk memastikan jemaah umrah yang sudah mendaftar berpeluang menunaikan ibadah itu mengikut jadual ditetapkan.

"Kita memohon kepada pihak penerbangan agar mempercepatkan proses menambah pesawat untuk bulan September dan seterusnya. Kita sarankan kepada semua agensi di bawah Puhaz untuk menangguhkan tarikh bagi menunaikan umrah sehingga mereka mendapat tarikh penerbangan baharu.

"Bagi yang terpaksa tunda, tarikh baharu akan diperoleh pada tahun ini sekiranya terdapat penerbangan tambahan dan berharap semua jemaah dapat menyokong tindakan Puhaz ini," katanya.