Pemergian Boon Leong kehilangan besar buat sukan bina badan

Keratan laporan Sinar Harian pada Isnin.
Keratan laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ARENA sukan tanah air pada Isnin dikejutkan dengan pemergian tokoh sukan bina badan negara Datuk Dr Gan Boon Leong pada usia 84 tahun awal pagi.

Beliau yang dilahirkan pada 25 Ogos 1937, pernah meraih gelaran Mr Universe, Mr Asia dan Mr Malaysia. Beliau juga pernah menerima anugerah Honorary Mr Universe pada 2000, sekali gus diiktiraf sebagai 'Bapa Bina Badan Malaysia'.

Khidmat bakti beliau dalam bidang sukan negara bukan hanya sebagai atlet tetapi pernah menjadi Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) dan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), selain penglibatan dalam bidang politik termasuk memegang jawatan Exco kerajaan negeri dan Pengerusi MCA Melaka.

Ketika menjadi Presiden PBBM, beliau menganjurkan pelbagai kejohanan dunia dan antarabangsa, seperti Kejohanan Bina Badan Asia pada 1987, 1993 dan 1994, Kejohanan Dunia Lelaki 1990 diikuti oleh Kejohanan Klasik Pro Am ASEAN 1992 dan Bina Badan Komanwel pertama ketika Malaysia menjadi tuan rumah edisi 1998 dan Mr Universe pada 2000.

Jaguh bina badan negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata pemergian mendiang pasti akan dirindui peminat sukan bina badan tanah air kerana personaliti berkarisma itu tiada galang gantinya.

"Sebaik saya dapat panggilan sekitar 7 pagi tadi (Isnin), memang terus terduduk sebab banyak jasa beliau untuk bina badan di Malaysia.

"Sekiranya pihak persatuan tidak mempunyai duit yang cukup, beliau akan mengeluarkan duitnya sendiri bagi membiayai perbelanjaan kami dan ini akan diingati sampai bila-bila," katanya yang sudah mengenali Boon Leong selama 20 tahun.

Antara yang turut berkongsi kesedihan atas pemergian mendiang adalah Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang menyifatkan mendiang sebagai seorang yang amat berdedikasi dan cukup komited ketika melaksanakan amanah bagi kesejahteraan hidup rakyat khususnya masyarakat Melaka.

"Begitu banyak jasa dan pengorbanan mendiang kepada masyarakat khususnya di negeri Melaka, antaranya ialah dengan wujudnya Jonker Street. Kini, ia menjadi kawasan pelancongan yang terkenal bagi pelancong tempatan dan juga pelancong asing, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

"Pemergian Boon Leong merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara, khususnya bagi parti MCA. Sumbangan dan bakti beliau akan sentiasa dikenang sampai bila-bila. Semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, pada Isnin.

Boon Leong merupakan antara tokoh yang berpengaruh di Melaka apabila pernah berkidmat sebagai Exco Kerajaan Negeri selama tiga penggal, Pengerusi MCA Melaka selama 12 tahun dan pernah berkhidmat sebagai pengerusi pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Kini, anaknya Datuk Gan Tian Loo, 50, meneruskan legasi ketokohan beliau apabila turut berkecimpung dan menyumbang kepada parti serta masyarakat.

Antara kejayaan manis dalam karier politik Boon Leong ialah apabila berjaya menewaskan pemimpin DAP, Lim Kit Siang pada 1982 ketika merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir Melaka dengan majoriti besar dan kemudiannya terus melakar kejayaan dengan memenangi pilihan raya umum lima kali berturut-turut. - Bernama