Adakan PRU15 jika BN mampu menang kenyataan diktator: Hassan

Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Hassan
Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Hassan
A
A
A

PASIR GUDANG - Kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan hanya akan membubarkan Parlimen sekiranya Barisan Nasional (BN) mampu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai diktator dan merosakkan amalan demokrasi di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kenyataan tersebut juga amat angkuh dan tidak wajar sama sekali kerana semua pihak perlu patuh kepada sistem demokrasi yang sudah diamalkan sejak dahulu.

"Ini satu kenyataan yang salah. Sudah menjadi amalan negara kita mengadakan PRU lima tahun sekali dan jika BN menang atau kalah, itu bukan syarat untuk kita mengadakan pilihan raya umum.

"Kita perlu ingat negara ini berpegang kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan undang-undang, ini termasuk dalam menentukan bila PRU. Ini asas demokrasi yang kita amalkan iaitu setiap lima tahun diadakan PRU," katanya.

Hassan (kanan) dan Cai Tung melihat keadaan siling yang rosak akibat ribut semasa melawat SJKC Nam Heng, Seri Alam di Pasir Gudang, pada Isnin.
Hassan (kanan) dan Cai Tung melihat keadaan siling yang rosak akibat ribut semasa melawat SJKC Nam Heng, Seri Alam di Pasir Gudang, pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Heng, Seri Alam di sini pada Isnin yang rosak bahagian bumbung dan siling akibat dipukul ribut baru-baru ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa berucap sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad berkata, Parlimen akan dibubarkan untuk PRU15 jika hasil kajian sikap pengundi yang dilakukan secara menyeluruh menunjukkan BN boleh menang.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, jaminan tersebut perlu bagi menghadapi PRU15 supaya BN boleh melakar kemenangan.

Hassan berkata, alasan dikemukakan Ismail Sabri tidak boleh dipakai malah tidak bertanggungjawab sedangkan penggal PRU14 akan tamat pada 18 Julai tahun hadapan serta tiada keperluan mendesak untuk mengadakan PRU.

Sepatutnya kata beliau, kerajaan bersikap berani dan telus menetapkan tarikh PRU15 seperti yang diamalkan di negara maju dan bukan seperti sekarang ini seakan-akan memperjudikan amalan demokrasi.

Sementara itu, mengenai lawatan tersebut, beliau berkata, Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang menghulurkan sumbangan wang tunai kepada SJKC Nam Heng untuk membaiki kerosakan terutama yang melibatkan dua bilik darjah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, keluarga mangsa ribut di Rumah Pangsa Ros Merah, Johor Jaya dan Kampung Melayu Pandan yang tidak menerima sumbangan kerajaan negeri boleh memohon bantuan baik pulih rumah.

Hassan (kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada pihak pengurusan SJKC Nam Heng pada Isnin.
Hassan (kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada pihak pengurusan SJKC Nam Heng pada Isnin.

Jelasnya, setakat ini hanya 22 daripada 50 keluarga mangsa ribut yang dipindahkan ke Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya mendapat bantuan kerajaan manakala selebihnya boleh membuat laporan polis dan juga aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, pihak berkenaan akan menilai kerosakan yang dialami penduduk berkenaan sebelum menghulurkan bantuan.