SWCorp sasar 10,000 tenaga mahir miliki SKM menjelang 2030

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar (dua kiri) berbual dengan pelajar yang mengikut program Pensijilan Kemahiran Malaysia yang menjalani latihan amali di syarikat konsesi pada Majlis Pelancaran Latihan Amali Sistem Latihan Dual Nasional bagi Pensijilan Kemahiran Malaysia dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022 Zon Utara di Wisma Idaman di Bandar Stargate, di sini, pada Isnin.
Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar (dua kiri) berbual dengan pelajar yang mengikut program Pensijilan Kemahiran Malaysia yang menjalani latihan amali di syarikat konsesi pada Majlis Pelancaran Latihan Amali Sistem Latihan Dual Nasional bagi Pensijilan Kemahiran Malaysia dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022 Zon Utara di Wisma Idaman di Bandar Stargate, di sini, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan 10,000 tenaga mahir dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam akan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menjelang 2030.

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, ia selari dengan kluster kelima Dasar Kebersihan Negara iaitu menambah baik produktiviti dan kualiti pekerja melalui latihan berterusan ke arah pekerja berkemahiran tinggi.

Beliau menjelaskan, kebanyakan pekerja pembersihan di bawah SWCorp memiliki SKM dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“SWCorp kini mengorak langkah memberi pengiktirafan serta latihan khusus untuk pekerja pembersihan supaya ia menjadi profesion yang mempunyai kemahiran.

“Malah, SWCorp juga memberi peluang latihan kepada pelajar universiti di peringkat ijazah sarjana muda untuk mendapatkan sijil kemahiran dan secara tidak langsung memberikan nilai tambahan kepada diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Latihan Amali Sistem Latihan Dual Nasional bagi Pensijilan Kemahiran Malaysia dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022 Zon Utara di Wisma Idaman di Bandar Stargate, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi) Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Datuk Dr Md Roslan Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud dan Pengarah Jabatan Pengurusan Kemahiran (JPK) Wilayah Utara, Mohd Azmir Ahmad.

Katanya, latihan kemahiran untuk mendapatkan SKM dalam sektor ini dikendalikan Solid Waste Training Center (SWTC) iaitu sebuah Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang ditubuhkan SWCorp untuk memberi latihan kompetensi kepada pekerja industri pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Artikel Berkaitan:

Rizalman menjelaskan SWTC juga telah bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia untuk menggunapakai kaedah SLDN bagi Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia.

“Selain itu, SWCorp juga telah dilantik sebagai Badan Peneraju Industri (ILB) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, yang mana antara fungsinya adalah untuk merancang dan memacu pertumbuhan serta perkembangan industri,” katanya.

Menurutnya, SWCorp memberi fokus kepada lima kluster utama iaitu kesedaran mengenai kebersihan, kelestarian alam sekitar, ekonomi kitaran, tadbir urus dan penguatkuasaan dan modal insan berkualiti dan berkemahiran.

Tambah beliau, SWTC kini telah melatih hampir 400 orang perantis dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam selepas ambilan pertama 70 perantis pada Jun 2019.

Dalam perkembangan sama, katanya, SWCorp telah menjalinkan kerjasama dengan USM yang merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tunggal di negara ini yang memiliki kluster pengurusan sisa pepejal pada 2022.

“Melalui kerjasama ini, pelajar kejuruteraan tahun akhir USM akan mengikuti Pensijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah SLDN yang bermula pada 1 Mei 2022 dan akan tamat pada Disember 2022,” katanya.

Beliau memaklumkan, kerjasama strategik di antara SWCorp dan USM ini juga turut melibatkan kolaborasi antara tiga syarikat konsesi di bawah seliaan SWCorp iaitu Alam Flora Sdn Bhd, Environment Idaman Sdn Bhd dan SWM Environment Sdn Bhd.

Katanya, pelajar USM yang terlibat dengan program pensijilan ini akan mengikuti latihan teori di USM dan menjalani latihan amali di syarikat konsesi bermula dari 15 Ogos 2022 sehingga 21 Oktober 2022.

“Setakat ini, seramai 93 pelajar terlibat akan didedahkan dengan kerja rutin kru lori kutipan seperti kaedah kutipan, jenis-jenis sisa, jenis-jenis kenderaan sehinggalah skop kerja penyeliaan,” katanya.

Sebelum itu, Rizalman menyempurnakan majlis pelancaran Latihan amali sistem latihan dua nasional yang dianjurkan oleh SWCorp dengan kerjasama Evironment Idaman Sdn. Bhd.

Selain itu, 10 pekerja pembersihan turut diberikan sumbangan bersempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan disambut pada 17 Jun setiap tahun bagi meraikan mereka, sekali gus memotivasi, menghargai dan mengiktiraf pekerja pembersihan itu.