Misi tarik pelancong Singapura ke Selangor

Loy Sian (empat dari kanan) mengetuai misi ke Singapura bagi mempromosi destinasi pelancongan menarik yang terdapat di Selangor.
Loy Sian (empat dari kanan) mengetuai misi ke Singapura bagi mempromosi destinasi pelancongan menarik yang terdapat di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Tourism Selangor menganjurkan siri jelajah bagi menarik kehadiran pelancong antarabangsa ke Selangor selepas pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, pemasaran dimulakan di Singapura yang merupakan salah satu penyumbang terbesar bagi pelancong asing di negeri itu.

Loy Sian berkata, beliau telah ke Singapura, mengetuai misi memperkenalkan kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu pada 11 Ogos dan 12 Ogos lalu.

"Ia bertujuan memasarkan serta mempromosi Selangor sebagai destinasi pilihan untuk warga Singapura.

"Misi ini turut disertai Majlis Perbandaran Hulu Selangor yang mempromosikan produk ekopelancongan di sana," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Beliau berkata, Tourism Selangor menerima kerjasama yang baik daripada pejabat Tourism Malaysia Singapura dan Malaysia Airlines untuk program terbabit.

Selain itu katanya, Tourism Selangor turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa pemain industri utama dari Singapura termasuk Media Corp, Enterprise Singapore, Lembaga Pelancongan Singapura dan Persatuan Bas Ekspres & Persiaran (EEBA).

Untuk rekod, Singapura merupakan penyumbang kedua tertinggi di Selangor dengan sejumlah 323,182 pelancong didaftarkan pada 2019 sebelum berlakunya pandemik Covid-19.

Tahun ini, Tourism Selangor menyasarkan 100,000 pelancong dari pasaran negara itu akan mengunjungi Selangor selepas pembukaan sempadan negara.