PM perlu tangani isu LCS segera

Pengamal media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1 baru-baru ini.
Pengamal media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1 baru-baru ini.
A
A
A

LAWATAN petugas media ke Boustead Naval Shipyard di Lumut, Perak pada Sabtu untuk melihat keadaan luaran dan dalaman projek kapal tempur pesisir (LCS) yang sedang dalam pembinaan merungkai pelbagai persoalan.

Menerusi lawatan tersebut, pihak media dapat melihat kerja pembinaan ke atas kelima-lima LCS yang ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut itu masih berjalan.

Kapal pertama telah menunjukkan perkembangan sehingga 60 peratus, diikuti kapal kedua (LCS 2) mencapai 48 peratus, LCS 3 (43 peratus), LCS 4 (36 peratus) dan LCS 5 (22 peratus).

Lawatan ini penting dalam menjawab persepsi yang timbul selepas pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa tiada satu kapal disiapkan walaupun kontrak projek memperuntukkan lima kapal disiapkan pada Ogos 2022.

Laporan PAC yang dibentangkan pada 4 Ogos lalu turut mendedahkan bahawa bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar kecewa segala teguran dan pendiriannya mengenai tatacara perolehan projek tidak diendahkan.

Selepas lawatan media itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap dapat mengawal persepsi negatif dengan memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan projek pembinaan tersebut.

Sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan membawa mereka yang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Persoalan

Namun, masih terdapat banyak persoalan belum terjawab termasuk mengapa Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) terpaksa menggunakan sebahagian dana daripada perolehan LCS untuk membayar hutang lapuk projek lain.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli turut mendakwa wujud perancangan awal untuk menyembunyikan pembabitan subkontraktor dari Perancis, DCNS, iaitu syarikat yang sering dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam projek pembinaannya.

Rafizi mendakwa, DCNS menggunakan tiga lapis syarikat bagi projek pembinaan enam kapal perang itu, yang menyebabkan kosnya meningkat tiga kali ganda.

Dakwa beliau, secara logiknya sekiranya DCNS adalah pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS, kerajaan Malaysia sewajarnya melantik DCNS secara terus seperti yang dilakukan dalam projek kapal selam Scorpene.

Bagaimanapun, kerajaan sebaliknya melantik BNS sebagai kontraktor utama yang kemudian melantik syarikat lain sebagai subkontraktor.

Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa, kerajaan masih tidak berlaku telus dalam kes LCS ini dan cuba mengelak beberapa persoalan yang ditimbulkan.

“Antara persoalan perlu dijawab ialah surat-surat daripada Panglima Angkatan Tentera, proses subkontrak, pekerja-pekerja yang telah lama dibuang sejak tahun 2017 dan ‘jerung-jerung besar' yang meninggalkan negara,” katanya.

Bahkan, katanya, adalah tidak masuk akal apabila SPRM mengambil masa begitu lama untuk menyiasat perkara tersebut, sedangkan sudah banyak laporan telah dibuat sebelum ini.

Setiap persoalan besar berhubung isu ini perlu dijawab oleh pihak yang bertanggungjawab dan tidak meletakkan di bahu kerajaan Ismail Sabri sahaja.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga perlu bijak memainkan peranan dalam mengendalikan isu ini.

Beliau perlu memberi fokus terhadap aspek pemulihan bagi memastikan projek itu kembali ke landasan seperti yang telah ditetapkan jemaah Menteri.

Kini, rakyat Malaysia tertumpu kepada keputusan siasatan SPRM yang difahamkan berada di peringkat terakhir.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 6 Ogos lalu turut memberi jaminan bahawa penemuan siasatan terbabit akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai dalam masa terdekat.

Sudah tentu rakyat Malaysia tidak sabar untuk menantikan SPRM mendedahkan nama-nama individu yang terlibat serta memastikan pendakwaan berhubung kes perolehan ini disegerakan.

* Riswandi Razak ialah Ketua Editor Pengisian Sinar Harian