Kuching City FC kukuhkan kedudukan

Penyerang import, Kuching City FC, Gabryel Monteiro cuba melepasi kawalan pertahanan Skuad Projek FAM-MSN pada aksi Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi. - Foto Facebook Kuching City FC
Penyerang import, Kuching City FC, Gabryel Monteiro cuba melepasi kawalan pertahanan Skuad Projek FAM-MSN pada aksi Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi. - Foto Facebook Kuching City FC
A
A
A

SKUAD Kuching City FC semakin mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Premier apabila menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, Kuching City FC yang terkenal dengan gelaran The Cats, mengejutkan skuad Projek FAM-MSN apabila pemain import, Gabryel Monteiro membuka jaringan pada minit ke-20.

Bagai mendapat semangat baharu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu dilihat semakin hebat melancarkan serangan ke gawang skuad Projek FAM-MSN bagi menambah jaringan.

Namun, tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan skuad The Cats itu apabila kesemua percubaan yang dilakukan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan skuad Projek FAM-MSN sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, skuad Kuching City FC tidak perlu menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Amir Amri Salleh menjaringkan gol kedua pada minit ke-48.

Mendahului dua gol dilihat semakin menyemarakkan semangat skuad The Cats itu untuk menggandakan asakan dan hasilnya seorang lagi pemain import, Yuki Takigawa menjaringkan gol ketiga pada minit ke-55.

Biarpun ketinggalan tiga gol, namun ia dilihat tidak melemahkan semangat kesebelasan skuad Projek FAM-MSN yang dilihat masih mampu memberikan saingan sambil sesekali turut melancarkan serangan balas ke pintu gol Kuching City FC dalam usaha merapatkan jurang gol.

Bagaimanapun, kesemua asakan itu dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan skuad The Cats itu sehingga ke wisel penamat.