UiTM berpesta gol belasah UMT

Pemain UiTM meraikan kejayaan membelasah UMT dalam aksi Kumpulan A pada Ahad.
Pemain UiTM meraikan kejayaan membelasah UMT dalam aksi Kumpulan A pada Ahad.
A
A
A

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) meneruskan momentum positif saingan bola sepak Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila membelasah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 6-0 pada Ahad.

Pada aksi di padang Turf Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), The Lions Roar memulakan pesta gol menerusi jaringan Muhammad Zharif Nazhan Refli pada minit ke-21 dan 35.

Muhammad Syazman Jefry kemudian melebarkan lagi jaringan skuad kendalian Mohd Yazli Yahya dengan gol ketiga sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, UiTM menggandakan asakan dan usaha itu berhasil apabila Akmal Fahmi Mohd Ghazali meledak jaringan keempat pasukannya pada minit ke-65’.

Gol itu ternyata menyemarakkan lagi semangat para pemain UiTM, apabila Wan Muhammad Aqil Hakimi Wan Ahmad Hazmi dan Muhammad Rifqy Remly menambah dua gol lagi pada minit ke-76’ dan 90'.

“Alhamdulillah, kami cipta satu lagi kemenangan besar apabila para pemain menterjemahkan taktikal di padang.

“Saya harap momentum ini diteruskan dalam aksi menentang UPSI,” kata Mohd Yazli.