Lelaki maut motosikal bertembung kereta

Motosikal milik mangsa remuk bahagian depan akibat pelanggaran dengan sebuah kereta Proton Iswara di KM 22 Jalan Lipis- Sungai Koyan pada pagi Ahad.
Motosikal milik mangsa remuk bahagian depan akibat pelanggaran dengan sebuah kereta Proton Iswara di KM 22 Jalan Lipis- Sungai Koyan pada pagi Ahad.
A
A
A

LIPIS - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta di kilometer (KM) 22 Jalan Lipis-Sungai Koyan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam jam 11.45 pagi, mangsa Hasruleffandy Hasim, 43, yang bekerja sendiri disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lipis.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Iswara, Zahari Mohamed, 49, dan isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati pemandu Proton Iswara bersama isterinya dalam perjalanan dari arah Sungai Koyan menghala ke arah Lipis.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah Lipis didapati hilang kawalan sebelum bertembung sehingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa telah dirujuk Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Difahamkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan sahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di unit kecemasan semasa mendapatkan rawatan pada jam 2 petang,” katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.