Lebih muatan, 19 pelajar terperangkap dalam lif

Seramai 19 pelajar terperangkap di dalam lif berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat. - Foto Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh
Seramai 19 pelajar terperangkap di dalam lif berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat. - Foto Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh
A
A
A

SUNGAI BULOH - Lebih muatan dipercayai punca lif sebuah bangunan di Kota Damansara di sini tersangkut menyebabkan 19 mangsa terperangkap di dalamnya.

Kejadian dikongsikan di Facebook Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh memaparkan gambar beserta video operasi menyelamat berdurasi 2 minit 43 saat yang dijalankan pada Sabtu.

Menurut perkongsian itu, kejadian dilaporkan pada jam 8.26 malam membabitkan kesemua wanita terdiri daripada pelajar sebuah kolej di bangunan itu yang terperangkap di dalam lif di tingkat satu.

"Anggota bomba bertindak membuka pintu lif dengan menggunakan kunci lif dan semua mangsa dapat dikeluarkan dalam keadaan selamat," menurut perkongsian itu pada Ahad.

Dalam hantaran berasingan, BBP Sungai Buloh menasihatkan orang ramai menggunakan kemudahan lif secara berhemah dan menitikberatkan had bebanan yang ditetapkan bagi setiap penggunaan.

"Lif tidak dapat menampung bebanan melebihi kapasiti yang ditetapkan.

"Walaupun lif tidak mengeluarkan bunyi amaran 'lebih muatan', bebanan berlebihan akan mengakibatkan lif tidak berfungsi dengan baik," kata kenyataan itu.

Menerusi perkongsian sama, BBP Sungai Buloh memaklumkan telah mengambil inisiatif memberikan taklimat kepada pelajar kolej di situ supaya peka dengan had muatan ditetapkan bagi mengelak insiden sama berulang.