PRU15: PN Pahang sepakat kekal bertanding kerusi dimenangi

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang sudah membuat ketetapan untuk untuk kekal bertanding di kerusi yang telah dimenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesepakatan itu telah dicapai bersama parti gabungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan dalam sesi perbincangan sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya, baki kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain akan dibincangkan pada sesi selanjutnya bersama rakan gabungan dalam PN.

“Formula yang sudah disepakati ialah Bersatu tidak akan ambil atau bertanding kerusi yang pernah dimenangi oleh parti sedia ada. Contohnya Parlimen Indera Mahkota, calonnya adalah dalam kalangan ahli Bersatu, siapa calon itu akan diputuskan kemudian.

“Begitu juga dengan lapan kerusi DUN yang dimenangi Pas, mereka akan meletakkan calon dalam kalangan parti itu untuk bertanding pada PRU15.

“Gerakan tidak akan minta kerusi yang telah dimenangi Pas, selepas itu baharu kita tengok kerusi tumpuan dan siapa paling sesuai untuk bertanding,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai pengagihan kerusi PN bagi menghadapi PRU15.

Sebelum itu, beliau merasmikan Forum Pengundi Muda Penentu Masa Hadapan Negara Sempena Hari Belia Parlimen Indera Mahkota 2022 di sebuah hotel di daerah ini.

Beliau menjelaskan PN masih lagi melihat formula yang sesuai dan keputusan itu akan dimuktamadkan di peringkat Majlis Tertinggi PN.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah formula lazim dilakukan oleh mana-mana parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) yang perlu mendapatkan keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin menambah, persefahaman rakan gabungan parti PN di Pahang sangat baik apabila semua perbincangan diadakan secara aman.