SMA Chuah belum dapat CPC

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang belum dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyebabkan bangunan baharu Sekolah Menengah Agama(SMA) Chuah masih tidak boleh digunakan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan Dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, perkara itu dalam perhatian dan tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

"Kita juga sentiasa mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan maklumat terkini.

"Bangunan itu masih lagi di bawah KPM dan difahamkan pihak kontraktor pembinaan memohon lanjutan tempoh masa (EOT) daripada pihak Bahagian Pembangunan KPM," katanya.

Menurutnya, permohonan EOT berkenaan akan dibentangkan dalam mesyuarat EOT pada 15 Ogos ini.

Jelasnya, setelah kelulusan EOT diperoleh, Bahagian Pembangunan KPM akan mengesyorkan kepada pihak Setiausaha Bahagian Pembangunan untuk pengeluaran CPC dan kemudian barulah bangunan itu boleh digunakan.

Mohamad Rafie berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di di sini minggu lalu selepas dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan kira-kira 100 individu mengadakan piket secara aman di luar bangunan baharu sekolah berkenaan bagi mendesak pihak berwajib mengambil tindakan lanjut.

Wakil mereka yang juga merupakan bekas pelajar sekolah itu, Rahim Yaacob, 54, berkata, perhimpunan itu bukan bertujuan atas kepentingan diri tetapi atas dasar keprihatinan sebagai keluarga pelajar dan bekas pelajar.

"Kita tidak boleh berterusan membiarkan guru-guru dan pelajar-pelajar berada di dalam bangunan yang daif dan usang sedangkan bangunan baharu dah siap lama.

"Kami hanya minta hak mendapatkan keselesaan dan keselamatan dalam pembelajaran anak-anak kami," katanya.